Sekurang-kurangnya 11 maut susulan gempa kuat di barat daya China

Agensi
Jun 17, 2019 05:40 MYT
Lapor agensi berita Xinhua, pasukan penyelamat dikejarkan ke kawasan pusat gegaran iaitu sekitar bandar Yibin.
Satu gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.0 magnitud melanda wilayah Sichuan ke barat daya China awal pagi ini, meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa dan mencederakan 122 yang lain.
Perkara itu disahkan pihak berkuasa wilayah itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Lapor agensi berita Xinhua, pasukan penyelamat dikejarkan ke kawasan pusat gegaran iaitu sekitar bandar Yibin.
Gegaran berlaku sekitar 10.55 malam waktu tempatan (1455 GMT) pada kedalaman 16 kilometer di luar bandar itu.
Gegaran pertama itu disusuli dengan empat gegaran susulan dengan gegaran paling kuat dicatatkan adalah 5.1 magnitud yang berlaku dalam tempoh 40 minit.
Laporan awal pusat pemantauan gempa Amerika Syarikat, US Geological Survey (USGS) mencatatkan kekuatan 5.8 magnitud dengan jangkaan kemusnahan teruk.
Kesemua kematian dicatatkan di daerah Changning dan Gongxian.
Susulan itu juga, sebuah hotel yang terletak berhampiran pusat gegaran dilaporkan runtuh namun belum diketahui tahap mana kemusnahannya atau ada mereka yang maut akibatnya.
Rekahan besar juga kelihatan di beberapa lebuh raya utama.
Gempa bumi sememangnya sering berlaku di wilayah Sichuan.
Dalam kejadian pada 2008, 87,000 kematian atau individu yang hilang dicatatkan selepas gempa dengan kekuatan 7.9 magnitud melanda wilayah itu. - Agensi
#Amerika Syarikat #Beijing #China #gegaran #gegaran susulan #gempa bumi #hilang #magnitud #maut #Sichuan #Yibin
;