Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza
Bernama
Oktober 2, 2024 12:32 MYT
Oktober 2, 2024 12:32 MYT
BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh awal Rabu dalam serangan udara Israel ke atas kemudahan yang melindungi penduduk kehilangan tempat tinggal di sini, menurut Perkhidmatan Pertahanan Awam, lapor Agensi Anadolu.
Agensi itu berkata lima orang maut apabila tentera Israel menyerang Rumah Anak Yatim Al-Amal.
Menurut sumber perubatan, lima lagi termasuk tiga kanak-kanak terkorban dalam serangan yang menyasarkan Sekolah Muscat di Bandaraya Gaza.
Beberapa kanak-kanak lain cedera parah dalam serangan itu, menurut sumber itu.
Israel secara sistematik menyasarkan kemudahan awam termasuk sekolah, hospital dan rumah ibadat di tengah-tengah serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas mengakibatkan lebih 41,600 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 96,400 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA