Sekretariat Ops Ihsan rancang buka hospital lapangan di Al-Arish
Irfan Faruqi
November 8, 2023 22:36 MYT
November 8, 2023 22:36 MYT
KUALA LUMPUR: Sekretariat Ops Ihsan sedang merancang untuk membuka hospital lapangan di Al-Arish bagi memberikan bantuan dan rawatan perubatan kepada semua mangsa yang terkesan akibat serangan rejim Israel.
Pengerusinya, Jismi Johari berkata perancangan tersebut tersebut tertakluk kepada kebenaran dan kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Mesir.
“Perancangan telah dibuat oleh Kluster Kesihatan dan Perubatan di bawah Ops Ihsan untuk menghantar doktor-doktor serta menyiapkan sekiranya perlu hospital medan di kawasan Al-Arish. Namun itu tertakluk kepada kelulusan kerajaan Mesir yang mana pasti akan memberi kerjasama yang baik. Kita akan umum dalam masa terdekat mengenai pergerakan ini kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Jismi berkata pihaknya perlu mengambil kira kekangan untuk membawa masuk ramai doktor ke Mesir memandangkan bilangan kemasukan warga asing yang dibenarkan adalah terhad.
Pihak sekretariat perlu meneliti semua aspek operasi hospital berkenaan untuk memastikan doktor sukarelawan yang tampil tidak tersadai di penginapan dan tidak dapat menjalankan tugas akibat kekangan teknikal dan birokrasi yang mungkin timbul.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kemungkinan rakyat Palestin di Gaza menolak untuk menerima rawatan di luar Palestin kerana bimbang dihalang daripada kembali ke tanah air.
“Berbalik kepada pesakit-pesakit yang dibawa keluar daripada Gaza, terdapat satu kerisauan daripada orang Gaza bahawa sekiranya mereka dibawa keluar dari Palestin, kemungkinan mereka tidak dapat kembali ke Gaza lagi.
Ini antara kerisauan mereka. Mereka lebih selesa meskipun sedang sakit dan serba kekurangan perubatan, masih mahu tunggu di Gaza,” katanya.