Sekolah UNRWA jadi sasaran serangan udara Zionis
Astro Awani
Jun 21, 2024 11:50 MYT
Jun 21, 2024 11:50 MYT
KHAN YOUNIS: Lebih lapan bulan selepas perang di Gaza bermula, kempen ketenteraan darat dan udara Israel terus mengganas.
Kali ini, sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan keluarga di Khan Younis rosak selepas menjadi sasaran serangan udara rejim Zionis.
Video yang diperoleh Reuters itu menunjukkan percikan api dan asap berhampiran sekolah berkenaan sebelum penduduk berhampiran bergegas ke tempat kejadian.
Menurut seorang penduduk, Mohammed Al-Masri, serangan itu telah menyebabkan dinding sekolah UNRWA tersebut runtuh.
Difahamkan ketika itu terdapat 25 individu berlindung di sekolah tersebut.
Setelah tiba di lokasi, dia mendapati segalanya telah ranap.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal dan tinggal sebatang kara.
Kekejaman rejim Zionis juga menyebabkan Gaza hancur dan lebih 37,400 orang terkorban.