Sekolah Eropah ketatkan peraturan penggunaan telefon bimbit

Bernama
September 12, 2024 13:00 MYT
Beberapa negara Eropah sedang mempertimbangkan atau telah memperkenalkan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah. - Gambar fail/Reuters
BRUSSELS: Negara Eropah semakin meningkatkan kebimbangan mereka mengenai penggunaan telefon bimbit, media sosial dan bentuk komunikasi digital lain secara berlebihan dalam kalangan golongan muda - dengan sesetengahnya bergerak ke arah melarang atau mengehadkan penggunaan telefon bimbit di sekolah.
Kajian terbaru menunjukkan kaitan yang membimbangkan antara masa skrin berlebihan dan kesan negatif terhadap kesihatan mental serta prestasi akademik kanak-kanak dan remaja.
Sebagai contoh, kajian oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyarankan penggunaan telefon bimbit secara terhad dan bertanggungjawab di sekolah.
Pada Julai, selepas dipilih semula untuk penggal kedua sebagai Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berikrar untuk menangani ketagihan media sosial dan buli siber, merujuk kepada kebimbangan yang meluas mengenai kesan negatif terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan.
"Kami melihat semakin banyak laporan tentang apa yang sesetengah pihak panggil krisis kesihatan mental. Kami akan mengadakan siasatan pertama di seluruh Eropah mengenai kesan media sosial terhadap kesejahteraan golongan muda. Kami berhutang kepada mereka," kata von der Leyen.
Walaupun Kesatuan Eropah semakin menyedari kesan negatif media sosial dan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan golongan muda, tiada peraturan di peringkat EU untuk menangani isu berkenaan.
Sebaliknya, peraturan berbeza mengikut negara.
Beberapa negara Eropah sedang mempertimbangkan atau telah memperkenalkan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah atau sekatan ke atas penggunaannya semasa waktu sekolah.
Belanda telah melarang sepenuhnya penggunaan telefon bimbit di sekolah di seluruh negara.
Di 180 sekolah menengah Perancis yang dihadiri oleh pelajar berusia antara sebelas hingga 15 tahun, satu skim sedang diuji untuk melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang hari persekolahan.
Percubaan "jeda digital" itu melibatkan lebih 50,000 pelajar dilaksanakan menjelang kemungkinan rancangan untuk menguatkuasakan peraturan berkenaan di seluruh negara mulai 2025.
Pada masa ini, pelajar di sekolah menengah Perancis mesti mematikan telefon bimbit mereka.
Di Belgium, penggunaan telefon bimbit akan dilarang di dalam bilik darjah ratusan sekolah berbahasa Perancis di Brussels dan Wallonia bermula sesi persekolahan ini.
Namun, di wilayah menggunakan bahasa Belanda Flanders, tiada larangan umum terhadap telefon bimbit di sekolah, tetapi beberapa sekolah telah memutuskan untuk melaksanakan larangan itu sendiri.
Di Greece, pelajar dikehendaki menyimpan telefon bimbit mereka di dalam beg sekolah sepanjang masa semasa kelas.
Di Itali, telefon bimbit dilarang daripada bilik darjah bermula sesi persekolahan ini, di bawah dekri yang dikeluarkan oleh pentadbiran sayap kanan Perdana Menteri Giorgia Meloni pada Julai.
Di beberapa wilayah di Sepanyol, larangan dan sekatan terhadap telefon bimbit di sekolah telah dilaksanakan, seperti di Komuniti Madrid, Galicia, Castilla-La Mancha, Andalusia dan Extremadura.
Sementara itu, di Croatia, walaupun tiada peraturan yang seragam, beberapa sekolah telah memutuskan untuk melarang penggunaan telefon bimbit oleh pelajar sepanjang masa mereka berada di sekolah.
Kandungan artikel ini adalah berdasarkan laporan oleh AFP, AMNA, dpa, EFE, FENA, HINA, STA, dan TT sebagai sebahagian daripada projek European Newsroom (enr).
-- BERNAMA
#negara Eropah #Kesatuan Eropah #Penggunaan telefon bimbit #media sosial #Kanak-kanak #buli siber
;