Sekolah di Damsyik dibuka semula
Agensi
Disember 15, 2024 21:36 MYT
Disember 15, 2024 21:36 MYT
DAMSYIK: Sekolah-sekolah di Damsyik dibuka semula kepada pelajar pada Ahad seminggu selepas kejatuhan kerajaan di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Di salah sebuah sekolah, Jawdat al-Hashemi, yang juga dikenali sebagai Al-Tajhiz, bendera yang diterima pemerintah baharu Syria dikibarkan di halaman sekolah seterusnya disambut sorakan pelajar dan guru.
Sekretari Sekolah Jawdat Al-Hashemi, Raed Nasser berkata, pihaknya bekerja dua hingga tiga hari seminggu untuk melengkapkan sekolah bagi memastikan keadaan pelajar di sekolah adalah selamat.
"Semua berjalan dengan baik. Kami sudah sepenuhnya bersedia. Kami bekerja dua hingga tiga hari seminggu untuk melengkapkan sekolah dengan perkhidmatan yang diperlukan bagi memastikan kepulangan pelajar ke sekolah berjalan dengan selamat.
"Pertama sekali, sekolah tidak mengalami sebarang kerosakan dan semuanya dalam keadaan baik. Jumlah pelajar yang paling ramai sudah tiba dan kami berharap pelajar lain yang dalam perjalanan akan tiba dengan selamat juga," katanya.
Sehingga kini, dunia memerhatikan sama ada pemerintah baru Syria dapat menstabilkan negara itu selepas kejatuhan menggemparkan Presiden Bashar al-Assad sekali gus menamatkan dinasti autoritarian yang bermula dari era pentadbiran bapanya, Hafez al-Assad di bawah Parti Baath sejak tahun 1971.
Sejak zaman Hafez al-Assad sehingga pemerintahan Bashar, rakyat Syria hidup dalam bayang-bayang ketakutan, kehilangan hak-hak asasi mereka dan berdepan dengan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan.
Sementara itu, membina semula Syria bakal menjadi tugas besar pemerintahan baharu selepas perang saudara yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa.