Sekolah di Bangladesh ditutup akibat cuaca terlalu panas
Agensi
Jun 6, 2023 22:50 MYT
Jun 6, 2023 22:50 MYT
DHAKA: Gelombang panas berterusan menyebabkan penutupan sekolah rendah kerajaan di seluruh Bangladesh.
Ini ditambah dengan bekalan elektrik yang kerap terputus menyebabkan penduduk kepanasan manakala pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa bantuan tidak dapat diberikan ketika ini.
Dalam pada itu, suhu maksimum melonjak sejak 10 hari lalu kepada hampir 41 darjah Celsius (105.8 Fahrenheit).
Jabatan Meteorologi Bangladesh memberi amaran bahawa tiada petunjuk bahawa cuaca panas di negara itu akan berakhir.
Sementara itu, para saintis memaklumkan perubahan iklim menyumbang kepada gelombang haba yang lebih kerap, teruk dan lama ketika musim panas.
Gelombang haba melanda di kebanyakan bahagian Bangladesh, termasuk ibu kota Dhaka, ketika negara itu memasuki kemuncak musim panas, mendorong suhu ke paras rekod tinggi.
Pihak berkuasa dijangka mengambil langkah pencegahan selanjutnya jika gelombang haba berterusan.