Sekeluarga lakukan serangan bom bunuh diri di Surabaya, 13 maut
Bernama
Mei 13, 2018 21:03 MYT
Mei 13, 2018 21:03 MYT
Serangan bom bunuh diri di tiga gereja di Surabaya, Jawa Timur dilakukan satu keluarga yang dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas.
Keluarga berkenaan terdiri seorang lelaki dan isterinya serta empat anak mereka yang berusia 9 hingga 18 tahun, kata Ketua Polis Indonesia Jenderal Tito Karnavian.
Beliau berkata kesemua suspek terbabit berpecah ke tiga gereja sebelum meledakkan diri dengan bom yang dipasang pada tubuh mereka.
Dalam kejadian antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi itu, seramai 13 orang dilaporkan terbunuh setakat 7 petang hari ini termasuk semua suspek, selain 41 orang lagi dilaporkan cedera.
Pelaku serangan bom bunuh diri di Gereja Pantekosta Pusat di Jalan Arjuna adalah ketua keluarga berkenaan yang bernama Dita Prianto.
Sebelum itu, Dita dilaporkan menghantar isteri dan dua anak perempuannya yang berusia 9 dan 12 tahun ke Gereja Kristen Indonesia (GKI) di Jalan Diponegoro sebelum mereka meletupkan diri masing-masing.
Di lokasi ketiga iaitu di Gereja Santa Maria Tak Bercela di Jalan Ngagel Madya, dua suspek yang meletupkan diri itu dipercayai anak lelaki Dika yang berusia 16 dan 18 tahun.
Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan Presiden Indonesia Joko Widodo yang meninjau lokasi kejadian, mengecam tindakan berkenaan dan mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan.
"Terrorisme adalah kejahatan kemanusiaan yang tidak ada kaitannya dengan agama apa pun.
"Semua ajaran agama menolak ajaran terorisme apa pun alasannya," kata Jokowi.
Polis Indonesia turut meningkatkan lagi kawalan keselamatan termasuk di lapangan terbang, rumah- rumah ibadat terutamanya gereja dan tempat-tempat yang berisiko tinggi berlakunya serangan pengganas.
Dalam pada itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia meminta rakyat Malaysia yang berada di Indonesia agar lebih berwaspada.
Tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam insiden berkenaan.
-- BERNAMA
#agama
#gereja
#Indonesia
#keganasan
#penegbom bunun diri
#pengganas
#serangan bom
#Surabaya
#terrrorisme