Sekatan terhadap Ketua Pertahanan antara halangan hubungan ketenteraan dengan AS - China

Bernama
September 1, 2023 04:29 MYT
Rundingan ketenteraan dengan AS menghadapi kesukaran dan halangan ekoran sekatan Washington terhadap Menteri Pertahanan China, Li Shangfu (gambar).- Gambar fail/AP
ISTANBUL: China pada Khamis berkata rundingan ketenteraan peringkat tinggi dengan Amerika Syarikat (AS) menghadapi kesukaran dan halangan ekoran sekatan Washington terhadap Menteri Pertahanan China Jeneral Li Shangfu.
"Beijing dan Washington mengekalkan komunikasi yang jujur dan berkesan melalui saluran ketenteraan dan diplomatik. Namun, wujud kesukaran dan halangan dalam hubungan itu.
"Kesukaran dan halangan timbul disebabkan tindakan AS, merujuk kepada penjualan senjata AS kepada Taipei dan misi pesawat dan kapal perang Amerika di Selat Taiwan dan Laut China Selatan," lapor Agensi Anadolu memetik sidang akhbar Kementerian Pertahanan China Wu Qian.
China menganggap Taiwan sebagai "wilayahnya yang terpisah", manakala Taipei menegaskan mengenai kemerdekaannya sejak 1949.
"AS juga enggan menghapuskan sekatan yang tidak adil ke atas pemimpin CMC (Suruhanjaya Tentera Pusat) China," kata Wu merujuk sekatan AS ke atas entiti China iaitu Jabatan Pembangunan Peralatan dan pengarahnya Li pada 2018 kerana "terlibat dalam transaksi penting" dengan Rusia.
Pada Mac, Beijing melantik Li sebagai ketua pertahanan China dan pada Jun, China menolak permintaan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin untuk bertemu Li di luar Dialog Shangri-La di Singapura.
Kementerian Pertahanan China menyalahkan AS kerana "menjejaskan kepercayaan bersama".
Pada masa yang sama, kedutaannya di Washington berkata AS wajar menarik balik "sekatan unilateral haram" itu bagi mewujudkan keadaan yang sesuai untuk berdialog.
Selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan Ogos lepas, China menangguhkan dialog ketenteraan peringkat tinggi dengan Washington dan berikrar untuk mengambil langkah selanjutnya.
-- BERNAMA
#rundingan ketenteraan #sekatan Washington #Menteri Pertahanan China #Li Shangfu