Sekatan perdagangan AS dorong Huawei bekerja lebih keras - Ren Zhengfei
Isabelle Leong
November 16, 2019 18:30 MYT
November 16, 2019 18:30 MYT
SEKATAN perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Huawei mendorong syarikat gergasi teknologi China itu untuk bekerja lebih keras.
Menerusi temu bual bersama Bloomberg Markets and Finance, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei berkata, sekatan bekalan perisian dan komponen itu sudah dilaksanakan selama enam bulan, tetapi Huawei masih mampu bertahan.
Ren berkata, meskipun syarikatnya mampu beroperasi secara bersendiri, namun ia bukan strategi yang baik.
Malah prinsip syarikat itu kekal percaya kepada kerjasama dalam era globalisasi.
"Selepas pelaksanaan sekatan itu, kami masih mempunyai momentum untuk membangun. Sehingga kini, kami hampir selesai mengubahsuaikan banyak versi produk kami.
"Pada tahun depan, kami akan berada dikenakan sekatan AS. sepanjang tahun. Sekiranya pada penghujung tahun depan dan kami masih mampu membangun, ini bermakna kami telah selamat daripada krisis itu.
"Selepas mengharungi krisis ini, kami akan memberi fokus kepada tiga hingga lima tahun akan datang dan kami masih boleh meneraju dalam dunia teknologi," kata Ren dalam temubual bersama Bloomberg Markets and Finance.
Bagaimanapun, beliau berharap sinergi kerjasama akan mampu terjalin kembali sekaligus menjayakan aspirasi strategi jangka panjang syarikat dalam pembangunan teknologi canggih.
Selain sekatan perdagangan yang dikenakan, anak Ren, Sabrina Meng Wanzhou yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan Huawei ditahan pihak berkuasa Kanada atas permintaan kerajaan AS susulan dakwaan beliau melanggar sekatan dagangan AS terhadap Iran.
#Amerika Syarikat
#Bloomberg Markets and Finance
#Huawei
#Ketua Pegawai Eksekutif Huawei
#Ren Zhengfei
#sekatan perdagangan