Sekatan kemasukan AS: Presiden Perancis beri amaran kepada Trump

Agensi
Januari 29, 2017 13:32 MYT
Hollande (gambar) memberitahu Trump, demokrasi hanya boleh dipertahankan jika prinsip asasnya dihormati, termasuk dengan memberi layanan baik kepada golongan pelarian. - REUTERS
Presiden Perancis Francois Hollande pada Sabtu memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar tidak mengambil pendekatan bersifat melindungi (protectionist), yang katanya akan membawa kesan ke atas ekonomi dan politik.
"Dalam dunia yang tidak stabil dan tidak menentu ini, bertindak secara 'inward' merupakan satu jalan buntu," kata Hollande kepada Trump dalam perbualan telefon rasmi pertama antara mereka, menurut satu kenyataan daripada pejabat presiden.
Presiden Perancis itu memberitahu Trump, yang telah menyatakan keraguannya terhadap organisasi antarabangsa, bahawa Perancis komited dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pakatan ketenteraan NATO amat diperlukan dan Kesatuan Eropah perlu diperkukuhkan.
Hollande, yang kini hanya tinggal empat bulan sebelum tempohnya berakhir, berkata sekatan terhadap Rusia hanya perlu ditarik balik apabila keadaan di timur Ukraine telah selesai.
Trump berkata pada Jumaat, dia sedang menimbangkan sama ada untuk membatalkan sekatan AS ke atas Rusia atau tidak, sambil menegaskan beliau tetap akan berpegang kepada janjinya semasa berkempen untuk meneruskan hubungan yang lebih baik dengan Rusia.
Hollande juga memberitahu Trump, demokrasi hanya boleh dipertahankan jika prinsip asasnya dihormati, termasuk dengan memberi layanan baik kepada golongan pelarian.
Terdahulu pada Sabtu, Perancis dan Jerman menyuarakan keresahan berhubung keputusan Trump untuk mengehadkan imigresen dan pelarian dari beberapa negara Islam.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Francois Hollande #halangan kemasukan #pelarian #Perancis #sekatan imigresen
;