Sekatan ke atas Rusia akan beri kesan terhadap KDNK dunia - Bank Dunia
Bernama
Mac 15, 2022 15:06 MYT
Mac 15, 2022 15:06 MYT
WASHINGTON: Sekatan dikenakan Barat terhadap Rusia bakal memberi kesan mendalam kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global berbanding impak konflik, kata Presiden Bank Dunia, David Malpass, pada Isnin.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual secara maya dengan The Washington Post, lapor Sputnik.
Katanya, jika Moscow berusaha mencari jalan untuk menamatkan konflik di Ukraine, masyarakat antarabangsa boleh memikirkan apakah tindakan yang bersesuaian terhadap Rusia.
Pada 24 Februari, Rusia melancarkan operasi khas di Ukraine selepas republik rakyat Donetsk dan Luhansk meminta bantuan untuk mempertahankan diri daripada tindakan tentera Ukraine.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia operasi itu hanya bertujuan memusnahkan infrastruktur ketenteraan Ukraine dan tidak menyasarkan penduduk awam. Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat dan sekutunya mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Rusia.
-- BERNAMA