Sekatan imigresen Trump ke atas imigran Islam berdepan halangan
Agensi
Januari 29, 2017 13:07 MYT
Januari 29, 2017 13:07 MYT
Arahan Presiden Donald Trump menyekat pengunjung dari tujuh negara Islam daripada memasuki Amerika Syarikat (AS) telah menimbulkan kemarahan, tetapi ia tergugat pada Sabtu apabila seorang hakim persekutuan berkata, pelancong yang terkandas boleh terus tinggal di negara itu.
Keputusan yang dibuat mahkamah itu disambut dengan sorakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston, salah satu daripada beberapa lapangan terbang utama di AS di mana penunjuk perasaan yang marah dengan arahan Trump itu sedang berkumpul.
Pihak American Civil Liberties Union, yang memohon penangguhan sementara arahan itu berkata, keputusan itu akan membantu kira-kira 100 hingga 200 orang yang memiliki visa yang sah atau memegang status pelarian yang sedang ditahan semasa dalam transit atau di lapangan terbang AS selepas Trump menandatangani perintah eksekutif itu pada Jumaat.
Ia satu kesudahan yang dramatik di hujung minggu pertama Trump di pejabat, selepas presiden dari parti Republikan itu mengenakan sekatan empat bulan terhadap pelarian yang ingin memasuki AS dan 90 hari terhadap pelancong dari Syria dan enam negara lain.
Trump semasa berkempen telah berjanji akan mengenakan "tapisan melampau" ke atas pendatang dan pelarian dalam usaha untuk mengelak daripada terjadinya serangan pengganas di negara itu.
Katanya kepada pemberita di White House pada Sabtu, perintahnya "bukan satu larangan ke atas orang Islam", sambil menambah, ia merupakan langkah yang telah tertangguh sekian lama.
"Ia berjalan dengan sangat lancar. Anda lihat di lapangan terbang, di merata tempat," kata Trump. Pihak White House tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai keputusan mahkamah itu.
Pegawai-pegawai kanan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS berkata mereka belum melihat arahan yang dikeluarkan Trump itu, tetapi berkata, kerajaan akan melaksanakan apa-apa perintah yang sesuai.