Sekatan ekonomi tidak sah di sisi undang-undang - Dr Mahathir
Najib Aroff
November 3, 2019 18:14 MYT
November 3, 2019 18:14 MYT
Sekatan ekonomi yang dilaksanakan Amerika Syarikat adalah tidak adil dan langsung tidak mengikut lunas perundangan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Isu sekatan ekonomi turut disebut oleh pemimpin ASEAN. Ia bertentangan dengan undang-undang malah tidak ada peruntukan undang-undang yang membenarkan sekatan ini.
“Malaysia juga disekat kerana tidak boleh berdagang dengan Iran. Negara ini (Amerika Syarikat) kerap bercakap tentang kedaulatan undang-undang namun mereka sendiri yang tidak mematuhi prinsip perundangan,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak ASEAN-PBB di Bangkok, Thailand.
Pada 30 Oktober lalu Dr Mahathir berkata Malaysia berdepan tekanan yang sangat kuat daripada pihak tertentu supaya menutup akaun bank individu dan syarikat Iran di Malaysia.
Tambahnya Malaysia turut diancam bank-bank milik Malaysia di luar negara akan ditutup sekiranya gagal berbuat demikian, katanya tanpa menamakan pihak terlibat.
#Amerika Syarikat
#ASEAN
#Bangkok
#bank
#Iran
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#sekatan ekonomi
#Thailand
#undang-undang