Sekatan COVID-19 di Bangkok, Krabi, Phang-Nga dan Phuket dilonggarkan
Bernama
Oktober 29, 2021 23:22 MYT
Oktober 29, 2021 23:22 MYT
BANGKOK: Mulai Isnin, Bangkok dan tiga destinasi pelancongan Krabi, Phang-Nga dan Phuket di bawah 'tourism sandbox areas' atau 'zon biru' akan menyaksikan perintah berkurung waktu malam ditarik balik dan kedai makan dibenarkan menghidangkan minuman beralkohol.
Walaupun pub dan bar serta pusat hiburan kekal ditutup tetapi kebanyakan sekatan ke atas perniagaan dan aktiviti rekreasi akan ditarik balik sebagai persediaan Thailand menyambut kedatangan pelancong lengkap vaksinasi COVID-19 dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah mulai 1 Nov.
Pelonggaran sekatan itu dibuat selepas Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) hari ini.
Jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata CCSA hari ini memutuskan untuk mengurangkan jumlah 'zon merah gelap' daripada 23 kepada tujuh iaitu Chanthaburi, Tak, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla.
"Dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di 'zon merah gelap', perintah berkurung dari 11 malam hingga 3 pagi tetap dilaksanakan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sehingga kini, Thailand merekodkan 1,893,941 kes COVID-19 dan 19,070 kematian.
Sementara itu, Prayuth menggesa orang ramai dan perniagaan supaya mematuhi langkah pencegahan COVID-19 bagi memastikan pembukaan semula negara yang selamat, bermula Isnin.
Thailand akan menyambut kedatangan pelawat lengkap vaksinasi mulai 1 Nov dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia, dengan pengecualian kuarantin.
-- BERNAMA
#Phuket
#Krabi
#Phang-Nga
#Thailand
#tourism sandbox areas
#perintah berkurung
#sekatan dilonggarkan
#COVID-19
#Bangkok