AS sekat empat pendatang Yahudi susulan keganasan di Tebing Barat

Bernama
Februari 2, 2024 18:16 MYT
Pada awal Disember, Jabatan Negara AS memaklumkan pihaknya akan mengenakan larangan visa ke atas ekstremis Yahudi yang terlibat dalam serangan. - Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini melaksanakan sekatan terhadap empat pendatang Yahudi selepas mereka dituduh melakukan keganasan terhadap orang awam dan kemusnahan harta benda di Tebing Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Aset kesemua individu terbabit di Amerika Syarikat akan dibekukan. Individu dan sektor perniagaan di AS juga akan dilarang daripada berurusan dengan mereka.
Presiden AS Joe Biden berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai pendatang Israel yang terlibat dalam serangan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat.
Pada Khamis, Biden mengeluarkan perintah eksekutif yang memberikan pihak berkuasa AS keupayaan mengambil tindakan terhadap ekstremis di Tebing Barat.
Arahan itu menjelaskan situasi di Tebing Barat telah "mencapai tahap yang tidak dapat diterima dan menjadi ancaman serius kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan Tebing Barat dan Gaza, Israel, dan rantau Asia Barat yang lebih luas".
Kesemua individu itu dituduh melakukan pelbagai jenayah, termasuk menyerang petani Palestin dan aktivis keamanan Israel; membakar bangunan dan kenderaan serta memulakan rusuhan.
Pada awal Disember, Jabatan Negara AS memaklumkan pihaknya akan mengenakan larangan visa ke atas ekstremis Yahudi yang terlibat dalam serangan.
-- BERNAMA
#Pendatang Yahudi #Amerika Syarikat #Tebing Barat #Palestin #keganasan #Israel
;