Sekat atlet Israel: Rakyat Palestin zahir penghargaan atas pendirian Malaysia
Madiha Abdullah
Januari 22, 2019 14:17 MYT
Januari 22, 2019 14:17 MYT
KEPUTUSAN Malaysia menyekat kemasukan atlet renang Paralimpik Israel mendapat reaksi positif daripada Palestin.
Seorang pengguna Twitter dengan nama Muslim Imran memuat naik video yang memaparkan sekumpulan penyokong di sebuah perlawanan bola sepak mengibarkan Jalur Gemilang dan kain rentang menyatakan terima kasih kepada Malaysia.
"Komuniti sukan Palestin meraikan pendirian Malaysia terhadap pendudukan Israel.
"Bendera Malaysia dan Palestin dikibar di sebuah padang di Yarmouk, bandar Gaza bersama slogan menyokong Tun Mahathir, Datuk Saifuddin dan Syed Saddiq," tulis Muslim pada kapsyen.
Sebelum ini, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan tetap dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini dan menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
“Kita tetap tidak akan benarkan. Kalau mereka datang juga, ia adalah satu kesalahan.
“Jika mereka mahu menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia sekalipun, mereka boleh berbuat demikian,” kata beliau.