Sekarang bukan masa sesuai adakan pilihan raya di Myanmar - Melissa Brown
Bernama
Oktober 14, 2022 04:20 MYT
Oktober 14, 2022 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan sebarang pilihan raya di Myanmar bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang melanda, kata Timbalan Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Negara AS, Melissa Brown.
Beliau berkata tindakan berkenaan hanya akan mencetuskan lebih banyak keganasan di negara yang diperintah junta itu.
Brown yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebaliknya berkata AS akan terus menyokong ASEAN dalam memastikan pelaksanaan konsensus lima perkara (5PC) untuk menyelesaikan kebuntuan politik di Myanmar.
"AS dengan lantang menyatakan bahawa kami tidak percaya sebarang pilihan raya di Myanmar akan bebas dan adil (buat masa ini) bahkan hanya boleh menimbulkan lebih banyak keganasan.
"Kami tidak menyokong pilihan raya palsu ini dan sebenarnya agak bimbang mengenai keganasan...Ini bukan penyelesaian yang kita semua inginkan," katanya pada sesi meja bulat bersama media Malaysia di Kedutaan AS di Malaysia di sini pada Jumaat.
Brown berkata daripada perspektif AS, negara ini lantang bersuara mengenai perlunya untuk menghentikan keganasan, memulihkan demokrasi dan membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil di Myanmar.
Dari 2019 hingga 2021, Brown berkhidmat sebagai Kuasa Usaha untuk Misi AS ke ASEAN di Jakarta, Indonesia dan mengetuai usaha memperkukuh hubungan AS dengan ASEAN serta usaha menggerakkan ASEAN untuk menyelesaikan krisis politik di Myanmar.
Sebelum ini, AS menyambut baik 5PC berikutan keperluan mendesak dalam mencari jalan untuk menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan anti rampasan kuasa oleh Tatmadaw (tentera).
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kemajuan ketara untuj mengembalikan Myanmar ke landasan demokrasi melalui 5PC meskipun ASEAN telah berusaha sebaik mungkin untuk meyakinkan junta yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Sementara itu, mengenai pilihan raya umum ke-15 yang bakal diadakan di Malaysia, Brown berkata AS akan terus mengukuhkan perkongsian dengan mana-mana kerajaan baharu yang dibentuk selepas pilihan raya.
"Politik domestik Malaysia adalah kompleks...saya fikir AS akan menyokong demokrasi yang telus, terbuka dan inklusif dan kita tahu rakyat Malaysia turut menyokongnya," katanya.
-- BERNAMA