Sekali air bah, sekali berlonggok sampah

Astro Awani
Januari 30, 2013 08:32 MYT
Jumlah sampah yang terkumpul kesan banjir yang melanda ibu negara Indonesia mencecah 8,609 tan.
Sampah itu dikumpulkan oleh Jabatan Kebersihan Jakarta dalam masa lapan hari antara 19 hingga 26 Januari lalu.
Secara purata, jabatan itu mengumpulkan 1,076 tan sampah sehari.
Ketua Jabatan Kebersihan Jakarta, Unu Nurdin berkata, sampah itu semata-semata sampah akibat banjir kerana jumlahnya lebih banyak dan bercampur air sehingga menjadikannya lebih beratM
"Langkah selanjutnya, iaitu mengangkut sampah-sampah tersebut ke Tempat Pembuangan Sampah Terpadu Bantar Gebang sesegera mungkin untuk menghindari penumpukan," kata Unu yang dipetik oleh agensi berita Antara.
Dalam pada itu, Unu menjelaskan ada masalah dalam soal pengurusan sampah kesan bencana banjir itu.
Antaranya, tidak wujud integrasi antara badan-badan yang terlibat.
Jelas beliau, Jabatan Kebersihan hanya mengendalikan sampah di jalan raya dan tempat pembuangan sampah sementara.
Sampah di taman pula menjadi tanggungjawab Jabatan Taman, sampah di kawasan perumahan menjadi tanggungjawab Jabatan Perumahan manakala sampah di sungai tanggungjawab Jabatan Tugas Am.
Sementara itu, Unu menggesa seluruh masyarakat Jakarta agar menjaga kebersihan, terutama dengan cara tidak membuang sampah ke sungai atau saluran air.
#banjir #Jakarta
;