PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Sabtu berkata bahawa hampir satu juta penduduk hidup di bawah ancaman bahan letupan jenis 'Unexploded Ordnance' (UXO) walaupun setelah tiga dekad usaha pembersihan giat dijalankan, lapor Fresh News.

Beliau berkata bahawa sekitar 1,700 kilometer persegi (km) tanah masih terdedah kepada bahaya periuk api.

Periuk api semasa konflik Khmer Rouge pada 1990-an terus memberi ancaman kepada penduduk luar bandar walaupun terdapat usaha agresif daripada kerajaan Kemboja, komuniti tempatan dan agensi antarabangsa untuk membersihkan sisa perang yang tidak meletup.

"Dalam hampir 30 tahun, kami membersihkan lebih daripada 3,000 kilometer persegi (km persegi) tanah.

"Kini, kami masih mempunyai 1,700 km persegi tanah yang perlu dibersihkan, dengan kira-kira satu juta penduduk tinggal di kawasan yang terjejas oleh periuk api," kata Hun Manet, menurut media dalam talian Fresh News.

Kemboja pernah dilaporkan sebagai negara paling terjejas dengan periuk api, 'cluster munitions', dan senjata-senjata lain di dunia.

Bagaimanapun, usaha berterusan secara kolektif berjaya mengurangkan jumlah bahan letupan ini dan sebahagian daripada tanah yang bebas ancaman periuk api kini bertukar menjadi tanah pertanian yang mengubah ekonomi luar bandar.

Kerajaan Kemboja sedang bekerja tanpa henti untuk mencapai visinya bagi membebaskan negara itu daripada periuk api menjelang 2025.

Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC) menjadi peneraju dalam usaha memusnahkan periuk api dan UXO serta memberikan pendidikan kepada komuniti tempatan mengenai bahaya senjata ini.

Dalam satu pertemuan dengan sukarelawan Belia Palang Merah Kemboja di Phnom Penh, Hun Manet mengingatkan orang ramai untuk terus menyokong aktiviti pemusnahan periuk api dan mengekalkan keamanan yang penting bagi kemajuan negara.

-- BERNAMA