Sejenis bakteria terbesar di dunia ditemui di paya bakau Caribbean
Agensi
Jun 25, 2022 15:41 MYT
Jun 25, 2022 15:41 MYT
WASHINGTON: Saintis telah menemui sejenis bakteria terbesar di dunia dalam habitat paya bakau Caribbean.
Sementara kebanyakan bakteria hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop, namun jenis yang baru dijumpai itu, lapor AP, boleh dilihat terus dengan mata kasar.
Bakteria berbentuk filamen nipis putih dengan saiz seperti bulu mata manusia itu disahkan sebagai bakteria terbesar yang diketahui setakat ini,” ujar pakar biologi marin dari Lawrence Berkeley National Laboratory, Jean-Marie Volland.
Beliau bersama saintis Olivier Gros dari University of the French West Indies & Guiana menjadi pengarang bersama tentang penemuan itu, seperti yang diterbitkan dalam jurnal Science.
Gros menemui sampel pertama bakteria tersebut, yang diberi nama Thiomargarita magnifica, atau bermaksud ‘mutiara sulfur hebat’. Ia ditemukan dalam keadaan berpaut pada daun pokok bakau yang tenggelam dalam habitat di gugusan kepulauan Guadeloupe pada 2009.
Begitupun, Gros tidak segera mengetahui bahawa itu adalah bakteria kerana ia bersaiz lebih besar iaitu secara purata boleh mencecah sepertiga dari seinci atau 0.9 sentimeter.
Hanya selepas melalui analisis genetik, pasukannya menyedari bahawa organisma itu merupakan sel bakteria tunggal (bakterium).
“Ini penemuan luar biasa. Ia membuka persoalan tentang berapa banyak bakteria besar ini di luar sana. Ia sekali gus mengingatkan kita supaya jangan sesekali memandang rendah pada bakteria,” ujar pakar mikrobiologi dari Washington University, Petra Levin.
Gros juga mendapati bakteria itu melekar di cengkerang tiram, batu dan botol kaca di dalam paya.
Para saintis setakat ini belum dapat membiakkannya dalam kultur makmal, namun penyelidik berkata, sel organisma itu agak berlainan.
Satu perbezaan ketara adalah ia memiliki vakuol iaitu bahagian tengah yang besar, membolehkan fungsi sel berlaku dalan persekitaran terkawal.
“Vakuol besar ini dipercayai untuk membantu sel mengatasi batas fizikal,” ulas pakar biologi di Pusat Penyelidikan Sains Perancis, yang tidak terlibat dalam kajian itu.
Secara amnya, para penyelidik tidak pasti bagaimana bakteria itu menjadi besar, namun hipotesis Volland menyatakan itu merupakan kesan adaptasi supaya ia tidak dimakan organisma yang lebih kecil.