Sejarawan bimbang mengenai pengabaian Taj Mahal selepas kubah bocor ketika hujan
Bernama
September 15, 2024 11:45 MYT
September 15, 2024 11:45 MYT
NEW DELHI: Kebimbangan dibangkitkan mengenai pengabaian Taj Mahal selepas kubah utama monumen Mughal yang terkenal itu bocor ketika hujan.
Dibina oleh Maharaja Shah Jahan antara 1631 dan 1648 sebagai tanda kenangan kepada isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal, monumen yang menempatkan makam maharaja dan permaisurinya ini merupakan tarikan pelancong paling popular di India serta satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia.
Video yang dimuat naik di media sosial pada Sabtu menunjukkan taman di sebelah bangunan marmar putih itu ditenggelami air.
Air juga dikatakan sampai ke makam Shah Jahan dan Mumtaz Mahal di dalam bilik utama akibat hujan berterusan melanda bandar bersejarah Agra, menurut laporan media tempatan.
Jabatan Arkeologi India (ASI), agensi kerajaan yang bertanggungjawab melindungi monumen bersejarah, mengakui kebocoran air berlaku tetapi berkata kubah besar di bahagian tengah tidak mengalami kerosakan.
"Ya, kami mendapati kebocoran di kubah utama Taj Mahal. Apabila diperiksa, ia disebabkan oleh peresapan air dan tidak ada kerosakan pada kubah utama. Kami telah memeriksa kubah utama melalui kamera dron," kata Rajkumar Patel, pegawai kanan ASI di Agra, seperti yang dipetik oleh Agensi Berita PTI.
Agra, yang terletak 220 kilometer di tenggara New Delhi, pernah menjadi ibu kota empayar Mughal dan menempatkan banyak bangunan warisan terkenal, termasuk Kubu Agra di Sungai Yamuna, tidak jauh dari Taj Mahal.
"Selama berabad-abad, Taj Mahal berdiri megah sebagai simbol kehebatan seni bina dan warisan romantis India.
"Namun, selepas tiga hari hujan lebat yang tidak henti-henti, kubah ikonik monumen marmar putih itu menghadapi cabaran yang tidak dijangka - kebocoran air," lapor akhbar Telegraph pada Sabtu.
REAKSI SEJARAWAN
Pakar sejarah terkejut bahawa monumen yang menjadi penyumbang utama pertukaran mata wang asing dan simbol kegemilangan masa lalu India itu boleh berada dalam keadaan buruk hanya kerana hujan tambahan.
"Jumlah pelawat di Taj tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana struktur ikonik yang dipelihara di benua kecil (Asia Selatan). Malangnya, penyelenggaraannya selama beberapa dekad sangat teruk," kata Syed Ali Nadeem Rezavi, profesor sejarah di Universiti Muslim Aligarh dan setiausaha Kongres Sejarah India kepada Bernama.
Air yang bocor melalui kubahnya hanyalah yang terbaru dalam siri kebimbangan mengenai pemeliharaan monumen itu.
Terdapat laporan bahawa asap dari kenderaan dan industri telah menyebabkan permukaan marmar putih Taj berubah menjadi kuning dan hijau.
Sungai Yamuna yang sangat tercemar mengalir di sebelah Taj Mahal.
Agra, yang kaya dengan monumen era Mughal, kini menjadi gambaran pengabaian dan kesesakan bandar.
Fatehpur Sikri, yang dibina oleh Maharaja Akbar antara 1571 dan 1573 sebagai ibu kotanya tetapi kemudian ditinggalkan, adalah satu lagi pusat seni bina Mughal yang menakjubkan.
Kebanyakan monumen sebegini berada di bawah jagaan ASI.
Mahmood Farooqui, seorang penulis dan sejarawan memberitahu Bernama bahawa ASI kekurangan dana, kakitangan, dan kepakaran untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Tetapi Rezavi berkata tidak ada kekurangan dana kerana walaupun sebahagian kecil daripada apa yang dikumpul dari pelancong dibelanjakan untuk pemeliharaannya, "keadaan tidak akan sebegini buruk."
"Selama bertahun-tahun, marmarnya dan corak ukiran-intaglio (gaya yang banyak digunakan semasa zaman Shah Jahan) pada struktur sampingannya (masjid dan mehman khana dalam kompleks Taj) semakin merosot," katanya.
Mohammad Tarique Anwar, profesor madya sejarah di Universiti Delhi, berkata Taj Mahal tidak boleh dianggap seperti monumen biasa dan masalah seperti kebocoran kubah serta banjir di tamannya tidak boleh dipandang ringan.
"Ia menunjukkan terdapat isu-isu serius tentang pemeliharaan dan penyelenggaraan monumen ikonik ini yang merupakan sebahagian daripada bukan sahaja warisan India tetapi juga warisan dunia," katanya.
-- BERNAMA