Sejarah dan keindahan Nagasaki janjikan memori tersendiri kepada pelawat
Bernama
Oktober 5, 2022 09:30 MYT
Oktober 5, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Menerusi tinggalan pengaruh ketamadunan Barat dan hubungannya dengan China serta negara Asia lain termasuk Malaysia, Nagasaki menggamit pelawat asing yang mahu menjejaki zaman silam dalam lawatan mereka ke Jepun.
Di sebalik sejarah hitam sebagai wilayah kedua dunia yang menjadi mangsa serangan nuklear, ada sisi lain yang boleh diteroka di bandar raya pelabuhan itu yang merupakan tempat pertembungan pelbagai budaya masyarakat apabila ia dibuka kepada dunia pada kurun ke-16.
Peranan Portugal, Belanda, China dan juga negara-negara lain serta revolusi perindustrian yang menjadi asas pemodenan Negara Matahari Terbit itu ditemukan hampir di segenap pelusuk bandar raya tersebut yang kini merupakan antara destinasi pelancongan popular Jepun.
MERIAH DAN "HIDUP"
Justeru, pengumuman Jepun untuk membuka sepenuhnya sempadan negara itu tanpa sekatan COVID-19 kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi bermula 11 Okt ini, adalah peluang yang tidak harus dilepaskan bagi yang sedang berkira-kira untuk melancong ke luar negara.
Lebih-lebih lagi yen, mata wang negara itu, kini di paras terendah dalam tempoh 24 tahun, sekali gus melonjakkan daya beli pelancong.
Penulis berpeluang menjejakkan kaki di Nagasaki pada penghujung musim bunga 2019, kira-kira lapan bulan sebelum pandemik COVID-19 menular dan menyebabkan hampir seluruh negara menutup sempadan masing-masing.
Menjangkakan kesan jatuhan bom atom pada 9 Ogos 1945 itu masih bersisa, tanggapan yang dibawa penulis ketika dalam perjalanan ke Nagasaki ialah ia sebuah kota yang "suram". Namun, realitinya bagai langit dengan bumi.
Keindahan alam semula jadi dengan bukit-bukau yang menghijau, jalan berliku serta pemandangan laut yang indah, memukau mata ketika penulis menelusuri sejarah wilayah itu.
Untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, manfaatkan sahaja trem dengan gerabaknya yang berwarna-warni dan hiasan dalaman berkonsep vintaj. Namun lebih penting lagi, ia satu jaringan pengangkutan yang komprehensif dan cekap.
JENDELA DUNIA
Di Dejima, sebuah tapak bersejarah yang merangkumi muzium, gudang tinggalan Belanda, jeti serta kediaman dari era Edo pada abad ke-17, Nagasaki ibarat sebuah jendela bagi pelawat menyaksikan pelbagai kebudayaan dan teknologi asing dari zaman dahulu.
Selain pelbagai relik yang dipamerkan di pulau buatan manusia dan pelabuhan, terdapat lukisan di dinding yang "bercerita" tentang barangan yang diangkut kapal Belanda ke Dejima seperti produk timah dari Malaysia, porselin dari China, gula dan rempah-ratus dari Indonesia serta kain kapas dari India.
Timah, komoditi penting dari Malaysia, kebanyakannya digunakan untuk membuat duit siling semasa zaman pertengahan.
Produk Jepun seperti kapur barus dari wilayah Kagoshima, kicap dan karya seni antara barangan yang dieksport ke negara lain, juga menggunakan kapal Belanda.
Pendek kata, Dejima adalah sebuah hab penting dalam pemodenan Jepun selain menjadi gerbang hubungan kebudayaan dengan China dan negara Asia lain, di samping hubungan diplomatik dengan Belanda yang berkekalan hingga lewat kurun ke-19.
Pelancong juga boleh menjejaki era gemilang Nagasaki sebagai pusat pertukaran maklumat di antara Barat dan Timur dengan melawat bangunan cawangan Hong Kong and Shanghai Bank yang kini dijadikan muzium.
Dibina pada 1904, bangunan itu mengetengahkan hiasan tiang era Greek klasik - Corinthian - dan dijadikan muzium yang menyimpan sejarah kegemilangan Nagasaki sebagai satu-satunya pelabuhan perdagangan antarabangsa di Jepun semasa era pengasingan Sakoku dari 1603 hingga 1868, iaitu era orang asing dilarang memasuki Jepun kecuali rakyat Belanda.
Muzium itu juga mempamerkan memorabilia seperti foto, persembahan video dan artifak penduduk pada era itu yang membentuk pemodenan Jepun dan hubungannya dengan negara lain.
Selain itu, ada satu ruang khas di dalam muzium tersebut yang dikhususkan untuk kisah Umeya Shokichi, pelopor industri filem Jepun, anak watan Nagasaki dan hubungannya dengan China, terutama pemimpin pejuang kebangsaan Sun Yat Sen yang turut digelar Bapa China Moden.
Umeya yang mempunyai empayar filem di Jepun, Hong Kong dan Singapura, dikenali sebagai individu yang menyokong Sun serta komuniti China semasa pemberontakan revolusi Xinhai bagi menumbangkan pemerintahan Manchuria, iaitu Dinasti Qing, dari 1911 hingga 1912.
Sun yang bertemu Umeya buat pertama kali di Hong Kong, datang ke Nagasaki semasa revolusi dan meraih sokongan Umeya serta komuniti Jepun dan China di Jepun yang memainkan peranan penting dalam pemodenan perindustrian dan perdagangan Nagasaki.
Seratus lima puluh tahun lalu, Nagasaki adalah sebuah wilayah yang pesat berkembang di mana kapal dagang dan pertukaran maklumat serta perdagangan bertumbuh menerusi pemasangan kabel dasar laut di antara Shanghai dan Nagasaki.
Selain itu, terdapat banyak bangunan dengan pengaruh Barat di Nagasaki yang dibina pada abad ke-19, iaitu bukti kehadiran banyak syarikat dan ahli perniagaan Eropah.
Mereka ini memperkenalkan teknologi awal Barat seperti kabel dasar laut, telegraf, perkapalan, teknik penangkapan ikan dengan pukat tunda dan perlombongan arang batu.
Antaranya ialah Thomas Glover, saudagar dari Scotland yang tiba di Nagasaki pada 1859 serta memainkan peranan penting dalam mengubah "samurai" kepada jurutera serta menjadikan Jepun sebagai peneraju kuasa perindustrian model dalam industri pembinaan kapal, keluli dan arang batu.
Walaupun Nagasaki merupakan sempadan teknologi barat dengan enjin stim dan kereta api pertama serta kemudahan pembinaan kapal cara barat pertama Jepun, ia membawa impak pemerkasaan lebih besar terhadap sejarah manusia dan keamanan dunia menerusi kemusnahan akibat bom atom yang digugurkan pada 9 Ogos 1945 dan membunuh kira-kira 74,000 orang.
Sebenarnya sasaran asal serangan bom atom itu ialah Kokura, juga di Pulau Kyushu, namun disebabkan jarak pandangan yang terjejas akibat awan tebal, bom itu dilencongkan ke Nagasaki.
BANDAR KEAMANAN DAN HARAPAN
Menjejakkan kaki di Nagasaki Peace Park yang terletak berhampiran pusat letupan, membawa sinar baharu kepada mereka yang menggambarkan kengerian impak bom atom serta harapan rakyat kebanyakan negara mampu membuatkan pengunjung diselubungi emosi yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.
Monumen serta arca dari pelbagai negara yang didedikasikan kepada usaha mencari kehidupan yang aman boleh ditemukan di segenap penjuru taman itu.
Paling mengagumkan ialah arca keamanan setinggi 10 meter - seorang lelaki dengan raut wajah yang tenang - karya pengukir Jepun terkenal, Seibo Kitamura.
Arca itu diukir dengan tangan kanan terangkat ke langit, menuding ke arah bom atom yang digugurkan, tangan kiri pul didepakan ke depan, ke arah keamanan, sementara mata tertutup rapat sambil mendoakan mereka yang terkorban, arca itu memberikan pemandangan mengagumkan di sebelah Fountain of Peace dengan air dipancut ke udara dalam bentuk sayap burung merpati putih.
Selain itu, terdapat arca yang disumbangkan oleh negara lain seperti "Monument of Peoples' Friendship" daripada Jerman, sebagai simbol persahabatan rakyat pelbagai negara, dan "Joy of Life" yang disumbangkan oleh Czechoslovakia, menggambarkan seorang ibu mendukung bayinya serta "Maiden of Peace" daripada China, iaitu sebuah patung gadis kecil mendepakan kedua-dua belah tangan meluahkan rasa sayang.
Tidak jauh dari situ, puing-puing dinding gereja Urakami Cathederal, iaitu gereja Katolik terbesar di Asia Timur ketika itu, menjadi bukti keteguhan pegangan penganutnya ketika kuasa bom memusnahkan gereja dan membunuh ribuan penganut pada hari tersebut.
Dibina pada 1895 di daerah Urakami, di mana ramai penganutnya teguh pada kepercayaan mereka sekalipun ada yang dibunuh ketika era pengharaman Kristian semasa zaman Edo dari awal kurun ke-17 hingga 1873 sebelum larangan itu ditarik balik.
Nagasaki yang digelar "Little Rome" Jepun, merupakan tempat agama Kristian berkembang sejak ketibaannya pada 1549, diketuai oleh St Francis Xavier, mubaligh Sepanyol yang datang ke Jepun selepas bertemu seorang warga Jepun yang dibuang daerah di Melaka.
PULAU "BERHANTU"
Untuk merasai pengalaman berada di tempat seram dan dikatakan berhantu, pelawat boleh menaiki kapal persiaran ke Pulau Hashima yang tidak berpenghuni.
Juga dikenali sebagai "Gunkanjima", bermakna kapal perang dalam bahasa Jepun, ia adalah antara Tapak Warisan Dunia UNESCO dan merupakan tinggalan lombong arang batu. Pada zaman kemuncaknya, pulau itu mencatat sejarah sebagai kawasan berkepadatan penduduk paling tinggi di dunia selepas ia memulakan aktiviti perlombongan pada lewat 1880-an.
Terbiar begitu sahaja selepas ditutup pada 1974 apabila ia kehabisan arang batu, suasana di pulau itu yang agak menyeramkan pernah ditampilkan dalam beberapa babak filem James Bond "Skyfall".
Pihak berkuasa Jepun tidak membenarkan sesiapa pun memasuki pulau serta bangunan dan struktur usang itu yang pernah didiami oleh pelombong, kebanyakannya dari Korea Selatan dan China.
Bagaimanapun disebabkan minat terhadap pulau menakutkan itu semakin meningkat, pihak berkuasa membina laluan bagi membolehkan pengunjung melihat pulau berkenaan dalam lingkungan yang terhad.
Seminggu berada di Nagasaki cukup membuatkan penulis berhasrat untuk kembali ke wilayah itu jika berpeluang pada masa akan datang. Justeru, bagi yang ingin melalui pengalaman serupa, sekarang adalah masanya untuk ke sana, sementelah industri pelancongan Jepun masih lagi "bertatih" untuk bangkit selepas lebih dua tahun ditutup akibat penularan COVID-19.
Negara itu membuka sempadannya secara terhad dengan sekatan COVID-19 yang ketat pada 10 Jun lalu. Namun baru-baru ini Perdana Menterinya Fumio Kishida mengumumkan pembukaan sepenuhnya sempadan Jepun serta menarik balik sekatan ketat terhadap pelawat bermula 11 Okt ini, dalam usaha melonjakkan kembali industri pelancongannya.
-- BERNAMA