Sejak insiden ditembak Taliban, ini perasaan Malala apabila kali pertama jejak semula ke Pakistan

Agensi
April 1, 2018 10:30 MYT
Malala terus merindui Pakistan sejak dibawa keluar dari negara itu berikutan insiden serangan Taliban pada tahun 2012. - Reuters
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai, akhirnya kembali mengunjungi tempat kelahirannya di Lembah Swat di Pakistan, pada Sabtu.
Kepulangannya diringi air mata yang gugur sejurus dia melangkah masuk ke dalam kediaman tempatnya membesar buat kali pertama, sejak insiden ditembak Taliban pada tahun 2012.
Malala, yang kini berusia 20 tahun, ada memberitahu seorang kenalan rapat keluarga tentang kepulangannya selepas menghabiskan pengajian di Oxford, iaitu institusi tempat dia mengikuti jurusan politik, falsafah dan ekonomi.
Jalan-jalan raya disekat di bandar Mingora ketika Malala diterbangkan masuk ke kawasan itu dengan menaiki helikopter tentera.
Turut bersamanya adalah kedua-dua ibu bapa, dan juga adik lelakinya.
Kawalan keselamatan dipertingkat di bekas kediaman mereka, yang kini disewa oleh kenalan keluarga, Farid-ul-Haq Haqqani. Di rumah itu, buku-buku, trofi dan bagasi Malala masih disimpan dengan baik.
“Mereka menangis dan melutut. Mereka juga menyentuh lumpur di tanah dengan bersujud.
"Saya bertanya sama ada dia akan kembali dan kekal. Dia menjawab ‘insya-Allah, apabila pengajian saya selesai, saya akan kembali ke Pakistan,” ujar Haqqani.
Tambahnya, Malala juga sempat meluangkan masa berbual dengan empat orang rakannya sewaktu di sekolah, sementara ibu bapanya menyapa jiran-jiran yang bertandang.
Malala bagaimanapun tidak dibenarkan berkunjung ke rumah-rumah jirannya atau berada di atas bumbung, atas sebab-sebab keselamatan. Dia juga belum pasti sama ada akan mengunjungi kawasan pergunungan di Swat iaitu yang pernah dikuasai militan Taliban Pakistan.
Sejak Khamis, Malala berada di negaranya. Itu merupakan kali pertama dia pulang selepas insiden dia ditembak Taliban seterusnya diterbangkan ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.
“Saya rindu akan segakanya tentang Pakistan… dari sungai ke gunung, malah ke jalanannya yang kotor. Saya dan rakan-rakan juga dahulunya suka bergosip, atau 'bergaduh' dengan jiran.
"Saya tidak pernah rasa teruja atau bahagia seperti ini,” kata Malala dalam satu temu bual dengan Reuters.
Kuasa pendidikan
Seorang lagi kenalan keluarga, Jawad Iqbal Yousafzai, berkata Malala juga akan melawat sebuah kolej kadet tentera.
Tentera Pakistan telah berjaya merampas semula Swat dari dicengkam Taliban pada 2009. Meskipun kawasan itu secara amnya selamat, militan masih cuba membuat serangan dari semasa ke semasa.
Taliban telah mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas keluarga Yousafzai pada 2012, khususnya Malala, kerana kelantangannya memperjuangkan hak pendidikan untuk perempuan, yang diharamkan di bawah perintah militan di Swat.
Dalam insiden itu, Malala cedera di kepalanya akibat ditembak, namun segera diterbangkan keluar dari pakistan untuk menerima rawatan.
Pada 2014, Malala menjadi penerima hadiah Noble termuda, yang menghargai usahanya dengan Malala Foundation, iaitu sebuah badan kebajikan yang diasaskan untuk menyokong kumpulan pendidikan yang memberi tumpuan ke atas Pakistan, Nigeria, Jordan, Syria dan Kenya.
Bulan ini, sebuah sekolah khusus untuk perempuan telah dibina menggunakan wang daripada hadiah Nobel yang diterimanya di Shangla, Lembah Swat.
“Penduduk Swat dan seluruh Pakistan bersama Malala.
“Insya-Allah, kita akan membanteras keganasan dan ekstremisme dengan ‘senjata’ pendidikan, kuasa pen, kuasa guru dan buku-buku,” ujar Jawad Iqbal Yousafzai.
Haqqani juga berkata Malala dan adiknya sempat meminta agar dihantarkan kepada mereka buah plum dari sebatang pokok yang pernah mereka petik dahulu.
Kunjungan Malala sekeluarga berlangsung selama 90 minit, katanya.
“Mereka meninggalkan rumah ini dengan berat hati. Sesekali mereka masuk semula ke dalam rumah, berulang kali,” ujarnya.
#kediaman #keluarga #Malala Yousafzai #nobel #Pakistan #pendidikan #SWAT
;