Sejak ada ladang ganja, pengusaha ladang sayur dan bunga di Kanada kehilangan pekerja
Agensi
Julai 30, 2019 17:39 MYT
Julai 30, 2019 17:39 MYT
Para pengusaha ladang sayur dan bunga di rumah hijau Kanada kini berdepan cabaran baru – para pekerja mereka semakin ramai yang ‘lari’ untuk bekerja dengan industri ladang ganja.
"Kebanyakan pihak pengusaha ladang ganja sangat kaya. Mereka memiliki sumber yang kuat untuk membayar upah yang bagus,” ujar ketua kumpulan industri Flowers Canada.
Sektor rumah hijau, nurseri dam bunga Kanada menggajikan 16 peratus daripada pekerja agrikultur negara itu. Industri itu sudahpun selama ini berdepan masalah bekalan tenaga kerja, dan kadar pengangguran semasa yang rendah juga membuatkan masalah itu tidak dapat ditangani.
Pentadbiran Perdana Menteri Justin Trudeau telah mengizinkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan pada Oktober 2018 dan sejak itu industri tersebut terus berkembang. Kepesatan sektor itu, menurut kumpulan peladang lain, meninggalkan impak ke atas pengeluar hasil tanaman rumah hijau tradisional.
Tarikan bekerja di ladang ganja bukan saja pada upah yang lebih tinggi, malah kerana industri itu semakin pesat diusahakan, ujar ketua persatuan di Ontario, Justine Taylor, yang mewakili pengeluar tomato, timun dan lada.
“Ia industri baharu yang mengujakan, dan sangat menarik perhatian generasi muda, khususnya mereka yang baru berjinak-jinak dalam sektor perladangan,” ujar Taylor.
Berdasarkan statistik, sektor ganja menghasilkan peluang pekerjaan besar dengan rekod 10,400 pekerja pada November 2018. Sejak industri itu beroperasi dengan izin kerajaan, ia menyaksikan peningkatan pengambilan pekerja sebanyak 266 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, para pengusaha ladang sayur dan bunga pula terpaksa bergantung kepada bekalan pekerja asing jika mereka gagal memperbaiki pulangan insentif untuk pekerja domestik.
Pada masa yang sama, sebahagian daripada pengusaha berkenaan sudahpun mula memikirkan tentang pelaburan dalam teknologi automasi bagi menangani masalah kekurangan pekerja.