Sefik Dzaferovic menang pilihan raya Presiden Bosnia

Astro Awani
Oktober 8, 2018 08:29 MYT
Sefik Dzaferovic bercakap kepada pemberita sebaik diumum pemenang susulan keputusan tidak rasmi pilihan raya yang dijalankan di Sarajevo, Bosnia, 8 Okt, 2018. (AP Photo)
Sefik Dzaferovic, calon parti Muslim Bosnia terbesar, Parti Tindakan Demokratik (SDA), diumum memenangi pilihan raya presiden Bosnia pada Ahad.
Pengumuman kemenangan itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu lewat malam Ahad selepas separuh kiraan undi dibuat menunjukkan Dzaferovic sedang mendahului dengan majoriti yang besar.
Bercakap pada satu sidang media, Dzaferovic berkata negara perlukan kestabilan, reformasi ekonomi dan integrasi Kesatuan Eropah (EU).
"Saya akan minta presiden-presiden lain agar turut memberi tumpuan kepada isu-isu ini.
"Kita tidak ada masa untuk retorik kosong. Rakyat mahukan kestabilan, pembangunan dan integrasi (EU) dari kita."
Sementara itu, keputusan rasmi awal turut menunjukkan pemimpin Serbia pro-Rusia, Milorad Dodik, memenangi pilihan raya presiden bagi etnik Serb.
Dodik memperolehi 56 peratus daripada undi, berbanding pesaingnya Mladen Ivanic yang menerima 42 peratus undian.
Dalam pada itu, calon presiden bagi etnik Croatia pula dimenangi Zeljko Komsic yang menerima 49 peratus undian.
Lebih separuh daripada 3.3 juta rakyat Bosnia yang layak mengundi keluar membuang undi pada Ahad.
Pilihan raya umum Bosnia dijalankan bagi memilih tiga presiden yang bakal mewakili penduduk Croatia, Muslim dan Serb, serta Parlimen baharu.
Bosnia mempunyai kerajaan yang kompleks dengan dua pentabdiran negeri berbeza yang ditadbirkan masing-masing oleh etnik Serb, serta gabungan etnik Serbia dan Croatia.
#Bosnia #Croatia #Milorad Dodik #Parti Tindakan Demokratik #pilihan raya #presiden #SDA #Sefik Dzaferovic #Serbia #Zeljko Komsic
;