Sedih haiwan kesayangan mati, lelaki nekad klonkan kucing

Agensi
September 5, 2019 15:35 MYT
Selepas tujuh bulan kemudian, syarikat itu menggemparkan media berita rasmi China apabila syarikat itu mengisytiharkan bahawa Garlic merupakan kucing klon pertama yang dihasilkan di negara itu.
BAGI mereka yang merupakan pencinta kucing, semestinya akan terkilan dan terkesan apabila kucing kesayangan yang dipelihara sejak kecil mati.
Tetapi lain pula kisah yang berlaku di negara China ini apabila seorang pemilik kucing bertekad untuk mengklonkan kucing kesayangannya untuk mengembalikan kerinduannya.
Lapor China News, pada mulanya pemilik kucing tersebut, Huang Yu sangat sedih apabila mendapati kucing kesayangannya, Garlic telah mati.
Huang Yu kemudiannya menanam bangkai kucingnya itu di sebuah taman berdekatan rumahnya.
Akan tetapi, beberapa jam kemudian Huang Yu mula teringat tentang tentang satu artikel yang pernah dibacanya sebelum ini berkenaan pengklonan haiwan peliharaan di China.
"Tiada siapa yang boleh menggantikan Garlic, kucing kesayangan saya.
“Garlic tidak pernah ada anak dan tiada apa yang Garlic tinggalkan selain kenangan, jadi saya fikir lebih baik saya mengklonkannya,” kata Huang.
Susulan itu, Huang kemudiannya mengambil keputusan menggali semula kubur kucing itu dan menyimpannya di dalam sebuah peti sejuk beku di rumahnya.
Setelah itu, Huang membawa bangkai kucingnya ke sebuah syarikat pengklonan haiwan peliharaan dikenali sebagai Sinogene yang berpangkalan di Beijing.
Selepas tujuh bulan kemudian, syarikat itu menggemparkan media berita rasmi China apabila mengisytiharkan bahawa Garlic merupakan kucing klon pertama yang dihasilkan di negara itu.
Malah, Syarikat Sinogene itu juga mengeluarkan kenyataan “mempelawa” orang ramai melakukan pengklonan haiwan peliharaan dengan hanya bermodalkan RM222,366 (AS$53,000).
Walaupun pengkritik dunia berpendapat bahawa pengklonan haiwan peliharaan tidak sepatutnya dilakukan dan tidak berperikemanusiaan, perkara itu bukan isu kontroversi dan tidak dihalang oleh kerajaan di China.
Malah, uji kaji terhadap haiwan juga tidak dianggap kejam oleh warga republik itu. - Agensi
#Beijing #China #kerajaan #klon #kucing #mati
;