AS sedia berkongsi AstraZeneca setelah dapat kelulusan FDA
Astro Awani
April 26, 2021 07:47 MYT
April 26, 2021 07:47 MYT
AMERIKA Syarikat sedia berkongsi 60 juta dos vaksin AstraZenecanya dengan negara lain.
Bagaimanapun, White House memaklumkan, ia hanya akan diedarkan selepas mendapat kelulusan panel keselamatan persekutuan, iaitu Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).
Pengedaran itu dijangka dibuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Ingin dijelaskan, buat masa ini, kami tidak mempunyai dos AstraZeneca yang tersedia.
"Tetapi, kami merujuk kepada vaksin yang perlu melalui penelitian FDA, untuk memastikan keselamatannya dan ia mematuhi standard serta garis panduan kami.
"Kami jangkakan sekitar 10 juta dos akan diluluskan untuk pengedaran, sekiranya FDA meluluskannya, dalam masa beberapa minggu akan datang.
"Dan, kami jangkakan tambahan 50 juta dos lagi dalam proses pengeluaran.
"Peringkat ini akan lengkap menjelang Mei dan Jun," kata Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki di Washington DC pada Isnin.
Amerika sebelum ini didesak berkongsi bekalan vaksinnya.
Presiden Joe Biden bulan lalu menyatakan komitmen berkongsi empat juta dos vaksin AstraZeneca dengan Mexico dan Kanada.
Biarpun belum mendapat kelulusan FDA, negara itu memiliki bekalan vaksin yang tinggi.