Sebuah sekolah sementara di Gaza dibuka
Astro Awani
November 1, 2024 07:45 MYT
November 1, 2024 07:45 MYT
GAZA: Sebuah sekolah sementara dibuka di Khan Younis, Gaza ketika konflik di antara Hamas dan rejim Zionis memuncak.
Inisiatif yang bertujuan menyokong pendidikan kanak-kanak di wilayah itu dibiayai dana wakaf Oman untuk pendidikan jarak jauh dan dilaksanakan Persatuan Kebajikan Wafaa Al Mohsenin.
Menurut ahli persatuannya, sekolah itu menggunakan khemah sebagai bilik darjah yang mampu menempatkan sehingga 1,800 pelajar dari darjah satu hingga empat.
Beberapa buah sekolah di Gaza telah musnah atau dijadikan tempat perlindungan bagi keluarga yang diarahkan berpindah akibat peperangan.
Sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu, dianggarkan 625,000 kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah di Gaza tidak dapat menghadiri kelas.
Menurut Kementerian Pendidikan Palestin, sekurang-kurangnya 10,490 pelajar sekolah dan universiti telah terbunuh dalam serangan Israel.
Sementara lebih daripada 500 guru dan pensyarah turut menjadi korban.
Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel mempunyai tahap literasi yang tinggi di peringkat antarabangsa.
Meskipun sistem pendidikan mereka kekurangan sumber, ia menjadi satu-satunya sumber harapan dan kebanggaan rakyat Palestin.