Sebuah lagi bangunan disasar Israel di selatan Lubnan
Astro Awani
November 14, 2024 08:15 MYT
November 14, 2024 08:15 MYT
BEIRUT: Sebuah lagi bangunan, yang dipercayai pangsapuri penduduk di pinggir selatan Beirut, diserang rejim Israel dalam siri insiden di Lubnan.
Menerusi sebuah video yang dikongsi di media sosial pada Rabu, susulan serangan, bangunan tersebut mengalami kebakaran dan kerosakan pada strukturnya.
Serangan udara Israel itu adalah yang kedua berturut-turut di kawasan yang dikuasai Hezbollah di selatan Beirut, selepas serangan udara pada Selasa.
Bagaimanapun, media melaporkan tiada kecederaan susulan insiden itu.
Penduduk di kawasan sekitar juga telah mengosongkan kediaman mereka.
Serangan terbaharu ini adalah yang paling sengit sejak Menteri Pertahanan Israel menegaskan tiada gencatan senjata akan berlaku sehingga matlamat Israel tercapai.
Tentera Israel turut menyatakan mereka berusaha mengurangkan kemudaratan kepada orang awam sambil menuduh Hezbollah sengaja beroperasi di kawasan awam untuk menggunakan penduduk sebagai perisai manusia.
Dakwa rejim itu lagi, selepas memberi amaran kepada orang awam di media sosial, serangan hanya menyasarkan lokasi Hezbollah di kawasan Dahiyeh dan kononnya melumpuhkan banyak kemudahan senjata serta peluru berpandu milik pasukan pejuang tersebut.
Israel telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Iran sejak akhir September, selepas hampir setahun konflik sempadan yang berterusan seiring dengan perang Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sejak permulaan pertempuran setahun lalu, serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,287 kematian di Lubnan, kebanyakannya berlaku dalam tujuh minggu kebelakangan ini.