Sebelum 'mati' lebih baik pindah! Ahli gusti bertopeng Mexico cari cara lain teruskan perjuangan

Agensi
Oktober 25, 2020 15:18 MYT
Lucha Libre merupakan salah satu sukan popular di Mexico dan menjadi tarikan buat pelancong, namun kini berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19. - Reuters
MEXICO CITY: Ahli-ahli gusti bertopeng yang dipuja-puja di Mexico kini berdepan musuh yang tidak jelas, hingga menjejaskan kewujudan serta tujuan hidup mereka.
Berikutan situasi pandemik yang belum menunjukkan tanda-tanda reda, pendapatan mereka yang lazim diperoleh menerusi persembahan perlawanan di gelanggang kini merosot teruk hingga ada yang menganggap acara kegemaran rakyat itu bakal 'mati'.
Namun, demi meneruskan tradisi yang berstatus 'legenda', mereka berusaha membawa warna-warni perlawanan itu ke sebuah pulau kecil di tengah-tengah Tasik Xochimilco di Mexico City.
Dengan penganjuran acara dan aktiviti sukan masih dilarang berikutan pandemik COVID-19 berlanjutan, kumpulan ahli-ahli Lucha Libre yang biasa menjayakan persembahan gusti gaya bebas kini mencari kaedah alternatif untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi mereka, tiada perlawanan bermaksud tiada pendapatan untuk menyara kehidupan.
Lucha Libre merupakan salah satu sukan popular di Mexico dan menjadi tarikan buat pelancong. Ia mengetengahkan 'pahlawan' bertopeng yang mencuri imaginasi penonton melalui penampilan dan identiti misteri serta persembahan eksentrik.
Reuters melaporkan, sekumpulan ahli gusti dan promoter Lucha Libre kini merancang menggabungkan dua tarikan pelancong menerusi pelan penganjuran perlawanan di sebuah pulau buatan kecil di antara jaringan terusan air di Tasik Xochimilco.
Setelah menyiapkan gelanggang tempur di pulau itu, bermula Jumaat depan, pihak penganjur merancang untuk membenarkan para peminat menyaksikan perlawanan secara terus dari atas bot, jika mereka membuat bayaran ekstra.
"Anda akan dapat menikmati aksi gusti sebenar yang berkualiti," kata promoter Ciclope, yang juga salah seorang pegusti.
Pulau-pulau kecil di Xochimilco, atau dikenali dengan panggilan chinampas, terhubung antara jaringan terusan air. Kawasan tanah bencah itu begitu menarik minat pencinta alam dan termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Para pengunjung selalunya mengelilingi kawasan berkenaan untuk menikmati pemandangan dengan menaiki bot sambil dihiburkan para penyanyi mariachi.
"Memang dalam situasi pandemik ini, seseorang perlu mencari sisi positif dari semua hal yang negatif," ujar Ciclope.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#ahli gusti #Mexico #pandemik #COVID-19 #lucha libre #chinampas #venue #acara sukan #shm #weekender
;