Sebar berita palsu, kritik monarki: Menteri Thailand ancam saman Facebook

Astro Awani
Jun 25, 2021 14:27 MYT
Menterinya, Chaiwut Thanakhamanusorn, mengumumkan perkara itu dalam sebuah mesyuarat jawatankuasa untuk mengawal penyebaran berita palsu. - Twitter @Yozzo
BANGKOK: Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand mengancam akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laman sosial Facebook kerana enggan menutup akaun pengguna yang didakwa menyebarkan berita palsu dan mengkritik monarki.
Menterinya, Chaiwut Thanakhamanusorn, mengumumkan perkara itu dalam sebuah mesyuarat jawatankuasa untuk mengawal penyebaran berita palsu, pada Khamis.
Bangkok Post melaporkan, Chaiwut berkata, mahkamah sudah memerintahkan sejumlah 164 URL ditutup pada bulan ini. Kementeriannya juga telah mengutus surat amaran supaya pembekal perkhidmatan internet dan Facebook patuh pada perintah itu.
Menurut Chaiwut, lapan akaun media sosial seperti “Pavin Chachavalpongpun", "Andrew MacGregor Marshall" dan "Royalist Marketplace–Talad Luang", masih lagi berfungsi.
“Walaupun sudah melalui proses negosiasi, Facebook masih enggan mengikut perintah untuk menutup semua akaun itu. Saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Facebook di Thailand dan ibu pejabatnya.
“Oleh kerana ada ramai pengguna di Thailand, Facebook perlu bertanggungjawab pada isu-isu melibatkan negara, serta mematuhi undang-undang Thailand,” tegasnya.
Sementara itu, 28 lagi individu dikenal pasti terus menyebarkan maklumat palsu, antaranya mengenai seorang anggota polis yang dikatakan meninggal dunia setelah menerima suntikan kedua vaksin COVID-19.
Khabar angin lain yang ditularkan termasuk isu nombor loteri yang kononnya dirancang, serta garis panduan menangani COVID-19 yang tidak benar.
Berkaitan perjudian dalam talian semasa kejohanan Euro 2020 bulan ini, 14 individu sudah ditangkap selepas mempunyai kaitan langsung dengan laman web seumpamanya.
#Facebook #Thailand #berita palsu #kritik monarki #menteri Thailand #Chaiwut Thanakhamanusorn #saman facebook
;