Sean 'Diddy' Combs dinafikan ikat jamin buat kali ketiga
Agensi
November 28, 2024 09:15 MYT
November 28, 2024 09:15 MYT
NEW YORK: Penyanyi rap dan mogul muzik Hollywood, Sean "Diddy" Combs telah dinafikan ikat jamin buat kali ketiga oleh hakim di New York.
Dua hakim sebelum ini menafikan pembebasan Combs daripada tahanan, terutamanya disebabkan kebimbangan mengenai potensi pengubahan saksi, menganggapnya sebagai risiko besar jika dia dibebaskan sebelum perbicaraan, yang dijadualkan pada Mei 2025.
Combs ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn, New York, didakwa atas aktiviti pemerdagangan seks dan pemerasan.
Sebelum ini, dia mengaku tidak bersalah dan menafikan lebih daripada puluhan tuduhan serangan seksual dalam tuntutan undang-undang sivil.
Hakim memetik bukti dalam kes yang menunjukkan cubaan Combs atau juga dikenali sebagai P. Diddy untuk mengganggu saksi, pelanggaran peraturan penjara semasa berada di dalam penjara dan mendakwanya menjalankan "aktiviti jenayah" termasuk pemerasan dan penculikan.
Hakim Daerah Amerika Syarikat, Arun Subramanian merumuskan mahkamah tidak boleh mempercayai Combs jika dia dibebaskan dengan ikat jamin.
"Mahkamah mendapati kerajaan telah menunjukkan dengan bukti yang jelas dan meyakinkan bahawa tiada syarat atau gabungan syarat yang munasabah akan menjamin keselamatan masyarakat," tulis hakim dalam keputusan yang dibuat pada Rabu.
Pendakwa raya telah menentang Combs diikat jamin dengan alasan salah lakunya semasa dalam tahanan.
Dalam kertas pertuduhan baru-baru ini, pendakwa raya menuduh Combs menyalahgunakan komunikasi penjara untuk mempengaruhi saksi dalam kesnya dan memaksa orang lain dalam lingkungannya untuk menyiarkan dalam talian untuk mempengaruhi pendapat umum dan memanfaatkan pembelaannya.
Bagaimanapun, peguam Combs berkata, anak guamnya harus dibebaskan supaya dia mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan perbicaraannya tahun depan.
Awal bulan ini, Hakim Subramanian mengarahkan pendakwa raya dalam kes itu untuk memusnahkan semua salinan hampir 20 muka surat yang dirampas semasa pencarian baru-baru ini di sel penjara bekas bintang hip-hop itu.
Antara dokumen tersebut termasuk nota tulisan tangan kepada peguamnya dan pendapatnya mengenai strategi undang-undangnya. - Agensi