SBY ucap terima kasih kepada media kerana kritik beliau
Astro Awani
Februari 10, 2014 16:22 MYT
Februari 10, 2014 16:22 MYT
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengucapkan terima kasih kepada media yang sering mengkritik kepimpinannya kerana kritikan-kritikan itu membantu beliau untuk membuat keputusan yang betul.
Menurut Susilo, sikap media yang cenderung sinis dan kurang bersahabat dengannya membuatkan beliau cermat dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
"Tiada hari tanpa kritik dan kecaman. Tiada hari tanpa pergunjingan tentang saya dan keluarga saya. Dengan terus dikritik dan diserang justeru saya boleh bertahan, saya tidak tergoda untuk menyalahgunakan kekuasaan yang saya miliki. Saya tidak ceroboh mengambil keputusan," kata Susilo semasa berucap pada majlis Peringatan Hari Media Nasional Indonesia di Bengkulu, pada Ahad.
Dalam ucapannya, Susilo turut mengingatkan media tentang peranan mereka sebagai pengawas demokrasi serta tadbir urus yang baik dan kebebasan media adalah baja untuk demokrasi.
Beliau mengingatkan tentang kod etika kewartawanan yang baik yang menuntut wartawan bersifat bebas, menghasilkan berita yang tepat dan tidak berniat buruk.
"Oleh kerana itu, sebagai (baja demokrasi), hendaknyalah para insan media menyerukan semangat anti fitnah, kerana fitnah — yang lebih dari pencemaran nama baik — itu hama demokrasi," katanya.
Susilo turut mengingatkan pemilik media yang terlibat dalam politik untuk menjaga diri supaya tidak mengancam demokrasi terutamanya ketika berdepan dengan tahun pemilihan Presiden yang dijadual diadakan pada 9 Julai ini.
Kata beliau, hegemoni pemilik modal dari bisnes media massa yang berkecimpung dalam dunia politik mengkhuatirkan demokrasi, sama seperti kawalan daripada pemerintah.
"Saya harus mengatakan itu sama buruknya dengan hegemoni dan kawalan pemilik modal media yang melebihi kepatutannya," kata Susilo.
Pada majlis itu, Susilo turut menerima penghargaan Sahabat Media daripada Persatuan Wartawan Indonesia atas sikap pedulinya terhadap media serta komunikasi yang baik dengan media.