Sayu! Budak dua tahun maut dibaham buaya peliharaan ayah

Agensi
Julai 1, 2019 17:38 MYT
Bapa Neary dikejutkan dengan penemuan kepala anaknya di dalam kandang buaya yang terletak di belakang rumah. -Gambar hiasan
Sepasang suami isteri terpaksa menerima kenyataan kehilangan anak perempuan mereka dalam keadaan yang tragis dan menyayat hati akibat dibaham buaya.
Dalam kejadian di Siem Reap, Kemboja pada Ahad, mangsa yang dikenali sebagai Rom Roath Neary, 2, pada mulanya berada di dalam rumah bersama ibunya yang sibuk menguruskan adiknya yang baru lahir.
Sekitar jam 10 pagi, ayahnya pulang dan mencari Neary, namun tidak menemui anaknya itu.
Timbalan Ketua Polis, Kapten Chem Chanman berkata bapa kanak-kanak itu bagaimanapun dikejutkan dengan penemuan kepala anaknya di dalam kandang buaya yang terletak di belakang rumah.
“Lelaki itu mengesahkan anaknya terjatuh ke dalam kandang berkenaan.
"Meskipun telah membina pagar di sekeliling kandang berkenaan, saiz kanak-kanak masih mampu melepasi pagar berkenaan,” katanya kepada Khmer Times.
Polis meminta kerjasama ibu bapa yang memiliki kandang buaya berhampiran rumah agar menjaga anak-anak mereka terutama kanak-kanak kecil.
Dalam pada itu, seorang lagi penternak buaya, Chan Leap, 52, berkata dia akan menjaga anak-anaknya setiap masa agar tidak mendekati kandang reptilia itu atau pun mengupah seseorang menjaga kandang berkenaan.
“Saya memelihara buaya dan memberi mereka makan setiap hari. Saya tidak membenarkan ahli keluarga saya datang atau memberi makan kepada haiwan itu kerana bimbang mereka akan terjatuh.
“Saya juga tidak membenarkan ahli keluarga saya melihat buaya berkenaan terutamanya anak-anak saya,” jelasnya.
#buaya #budak dua tahun #Chan Leap #dibaham buaya #kandang reptilia #Rom Roath Neary
;