Saya tidak akan letak jawatan - Boris Johnson

Astro Awani
Januari 26, 2022 06:01 MYT
Keir Starmer (berdiri kanan) bertanya soalan kepada Boris Johnson (duduk, empat kiri), ketika sesi Soalan Perdana Menteri di House of Commons, London, 26 Jan 2022. - Foto Parlimen UK/AP
PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson berkeras tidak akan melepaskan jawatan meskipun berdepan tekanan dari pelbagai pihak termasuk pembangkang ketika ini.
Beliau yang didakwa melanggar perintah sekatan COVID-19 yang dikenakan kerajaan United Kingdom (UK) sendiri dengan menghadiri beberapa majlis dan parti pada Mei 2020 dan Disember 2020, diasak pelbagai soalan dalam sesi Parlimen pada Rabu.
Ketua Pembangkang Keir Starmer mendakwa, Johnson menunjukkan sikap "menghina negara" susulan penganjuran parti di Downing Street dan Cornwall ketika perintah sekatan masih dilaksanakan.
Laporan siasatan penuh dakwaan terhadap Johnson dijangka dikeluarkan dalam tempoh terdekat dan mungkin menjadi benteng terakhir buat Parti Konservatif mengekalkan kerajaan yang dipimpinnya.
BACA: Boris Johnson didakwa mencabuli sekatan COVID-19, anjur parti hari jadi
"Tuan Speaker, walaupun isu yang dibawa beliau penting, saya tidak boleh mengulas mengenai siasatan yang sedang berjalan.
"Kita semua tahu ada banyak isu penting dihadapi dunia hari ini, krisis di sempadan Ukraine umpamanya. Kerajaan UK sedang mengetuai langkah mengenakan sekatan untuk menghalang tindakan tidak bertanggungjawab Presiden Rusia Vladimir Putin," kata Johnson.
"Apa saja yang beliau akan katakan hari ini atau esok tidak akan mengubah apa-apa.
"Bukankah ini perdana menteri dan kerajaan yang mempamerkan tiada lain selain penghinaan terhadap kemuliaan dan kehormatan negara ini?" balas Starmer pula.
"Sudah tentu dia mahu menyingkirkan saya. Saya tidak menafikannya. Atas sebab-sebab tertentu, ramai yang mahu saya berundur.
"Sebabnya ialah, mereka tahu kerajaan ini boleh dipercayai untuk buat kerja," kata Johnson.
Parti Downing Street | 'Saya tidak akan letak jawatan' - Johnson
BACA: Lagi desakan untuk Boris Johnson letak jawatan
Pada Disember tahun lalu, Johnson menafikan terlibat dalam sebarang salah laku tetapi mengakui perkara itu akan disiasat.
Kebanyakan wakil rakyat dari partinya mahu menunggu laporan rasmi sebelum menyatakan pendirian sokongan terhadap Johnson atau sebaliknya.
Polis Metropolitan London berkata pada Selasa, pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat pelanggaran perintah COVID-19 melibatkan Johnson.
Johnson turut dilaporkan menghadiri beberapa acara termasuk parti musim panas dan Krismas beberapa bulan sebelum ini.
VIDEO: Downing Street | Emel jemputan parti Krismas didedahkan
#Boris Johnson #pembangkang #letak jawatan #parti Krismas
;