Saya tidak akan dijatuhkan, kata Presiden Brazil Dilma Rousseff
Agensi
April 19, 2016 11:43 MYT
April 19, 2016 11:43 MYT
Presiden Brazil, Dilma Rousseff berkata beliau tidak akan dijatuhkan selepas Dewan Rakyat semalam mengundi untuk mengadakan prosiding pemecatan terhadap beliau.
Dilma juga menganggap timbalan presidennya sebagai pengkhianat dan tidak layak untuk dihormati kerana merancang konspirasi secara terbuka untuk menggulingkannya.
Presiden wanita pertama Brazil tersebut juga berkata beliau telah dilayan secara tidak adil.
"Walaupun berasa sedih dengan ketidakadilan ini, saya mempunyai kekuatan, keberanian dan semagat yang jitu untuk menghadapinya (prosiding pemecatan).
“Saya tidak akan dijatuhkan. Saya akan terus berjuang dan berjuang, seperti yang saya lakukan selama ini,” katanya.
Rousseff dituduh menggunakan wang institusi perbankan awam untuk menampung bajet kerajaan persekutuan.
Semalam, Parlimen Brazil mencapai keputusan undian dua per tiga majoriti yang diperlukan untuk meluluskan prosiding pemecatan terhadap Rousseff.
Usul undian Dewan Rakyat ini akan dibawa ke Dewan Senat bagi membolehkan kes itu dibahaskan secara terbuka.
Undian dua per tiga majoriti Dewan Senat akan memutuskan Dilma Rousseff dipecat daripada jawatannya.
Sebelum ini, satu jawatankuasa kongres Brazil pada 11 April mengundi untuk mengadakan prosiding berhubung pemecatan Rousseff.
Jawatankuasa khas itu, yang mempunyai 65 anggota, mengundi 38-27 iaitu memihak kepada pemecatan tersebut.
Ianya sekali gus membuka jalan untuk undian penuh kesemua anggota dewan perwakilan bagi memutuskan perkara berkenaan.