Saya tidak akan bercakap untuk mereka seperti Aryan Khan yang ayahnya 'berkuasa' - Asaduddin Owaisi

Agensi
Oktober 18, 2021 12:55 MYT
Asaduddin Owaisi berkata beliau akan bersuara untuk 'Orang Islam yang tiada suara' namun dipenjarakan, bukan untuk mereka yang ayahnya mempunyai kuasa. - Foto Twitter/Asaduddin Owaisi
NAMA anak sulung Shah Rukh Khan, Aryan Khan banyak disiarkan media antarabangsa selepas anak pelakon terkenal Bollywood itu kini dalam tahanan selepas ditangkap Narcotics Control Bureau (NCB) pada 3 Oktober lepas.
Tidak lama selepas penangkapan itu, netizen malah selebriti ‘berlumba-lumba’ menyatakan pendapat mereka berhubung penahanan tersebut.
Bahkan, baru-baru ini, ketua All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM), Asaduddin Owaisi juga mengeluarkan komen terhadap kes berkenaan yang bukan sahaja menggemparkan India malah dunia juga.
Memetik laporan India Times, Asaduddin Owaisi berkata beliau akan bersuara untuk ‘Orang Islam yang tiada suara’ namun dipenjarakan, bukan untuk mereka yang ayahnya mempunyai ‘kuasa’.
BACA: Aryan, anak Shah Rukh Khan sudah berjinak dengan dadah sejak empat tahun lalu?
BACA: Shah Rukh Khan rasa 'kecewa', tidak makan atau tidur sejak anaknya ditahan
BACA: 10 minit yang bermakna, akhirnya Shah Rukh Khan 'bertemu' Aryan
Beliau berkata demikian ketika berucap pada tunjuk perasaan di Ghaziabad ketika ditanya mengenai penangkapan Aryan.
“Anda bercakap tentang anak lelaki seorang ‘superstar’. Sekurang-kurangnya 27 peratus tahanan di penjara adalah orang Islam.
“Siapa yang akan bercakap untuk mereka? Saya akan berjuang untuk mereka yang tiada suara dan lemah, bukan untuk mereka yang ayahnya berkuasa,” tegasnya.
Sementara itu, mahkamah di Mumbai memutuskan perintah jaminan untuk Aryan pada 20 Oktober nanti dan laporan juga menunjukkan pihak penjara meningkatkan keselamatan Aryan.
Difahamkan, dia telah dipindahkan ke bilik khas dan dipantau pegawai.
Aryan dilaporkan sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan makanan penjara, membuatkan pihak berkuasa bimbang dengan kesihatannya.
Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri mengirimkan wang pesanan untuk perbelanjaannya di penjara kerana makanan dari rumah tidak dibenarkan dibawa masuk.
Dia juga dapat bercakap dengan ibu bapanya melalui panggilan video kerana keluarga itu tidak dapat pergi dan bertemunya kerana peraturan COVID-19.
#Shah Rukh Khan #Aryan Khan #Dadah #NCB
;