Saya tiada tempat tinggal - Duterte

Sinar Harian
Februari 8, 2022 06:13 MYT
Sara (kanan) yang merupakan anak kepada Duterte turut bertanding sebagai pasangan regu, Marcos Jr. - Foto Agensi/Sinar Harian
MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mula mengemas barangan miliknya untuk meninggalkan Istana Malacanang lebih awal walaupun penggal pemerintahannya berakhir pada April depan, setelah kempen Pilihan Raya Presiden di negara itu yang dijangka sengit bermula pada Selasa.
"Saya akan keluar pada bulan depan dan tidak akan menunggu sehingga April. Saya juga tidak bermalam di sini. Ke mana Tuhan bawa saya, saya akan berhenti dan tidur di situ.
"Saya hanya akan hadir di Istana Malacanang untuk bekerja dan selesaikan urusan lain," katanya kepada program Talk to the People yang disiarkan lewat Isnin.
Menurutnya, beliau merancang untuk membeli sebuah kondominium kecil dilengkapi dua bilik tidur memandangkan beliau tidak mempunyai rumah untuk didiami di Metro Manila.
"Saya tiada tempat tinggal. Saya juga tidak mempunyai ahli keluarga di sini kerana mereka semua menetap di Amerika," jelasnya.
Menjelang hari terakhirnya sebagai Presiden, Duterte berkata, beliau mahu menunggu hari pelantikan penggantinya dan menjemput presiden baharu tersebut untuk minum teh bersamanya selain menyampaikan ucapan terima kasih kepada para penyokongnya.
Penggal pemerintahan pemimpin bersuara lantang dan sarat kontroversi itu bermula pada 30 Jun 2016 selepas pelantikannya sebagai Presiden Filipina ke-16 menggantikan Benigno Aquino III.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) memaklumkan tempoh kempen untuk jawatan tertinggi termasuk senator akan bermula pada Selasa hingga 7 Mei sebelum hari pengundian berlangsung pada 9 Mei depan.
"Kempen untuk calon yang bertanding di peringkat tempatan pula akan bermula pada 25 Mac depan," jelasnya lagi.
Difahamkan, beberapa calon termasuk Naib Presiden, Leni Robredo dan pasangan regunya, Senator Francis Pangilinan telah mula keluar berkempen untuk meraih sokongan rakyat manakala calon pilihan, Senator Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr dan Datuk Bandar Davao, Sara Duterte-Carpio mengadakan perhimpunan di Bocaue City di Bulacan. - Agensi
Artikel asal di Sinar Harian
#Rodrigo Duterte #Istana Malacanang #Pilihan Raya Presiden Filipina #tiada tempat tinggal
;