'Saya terpaksa berpura-pura mati' - mangsa serangan Taliban
AFP
Disember 16, 2014 07:29 MYT
Disember 16, 2014 07:29 MYT
Seorang remaja yang merupakan mangsa yang terselamat daripada serangan Taliban di sebuah sekolah di Pakistan pada Selasa menceritakan detik cemas bagaimana keadaan dia terpaksa berpura-pura mati selepas kedua-dua kakinya ditembak pemberontak.
Sekumpulan militan mengganas di sebuah sekolah tentera yang terletak di barat laut Peshawar yang membunuh sekurang-kurangnya 130 orang.
Kebanyakan yang terbunuh adalah dalam sebuah serangan berdarah di Pakistan itu adalah kanak-kanak.
Ketika bercakap dari tempat tidurnya di wad trauma Hospital Lady Reading, Shahrukh Khan, 16, berkata dia bersama-sama rakan sekelasnya sedang berada dalam satu sesi bimbingan kerjaya di auditorium sekolah ketika empat lelaki bersenjata yang memakai uniform tentera memecah masuk.
“Seseorang menjerit kepada kami untuk tunduk dan menyorok di bawah meja. Dia juga menjerit 'Allahuakbar' sebelum memulakan tembakan.
"Kemudian ada di antara mereka menjerit 'Ada ramai lagi kanak-kanak di bawah meja, pergi dan dapatkan mereka'," tambah Shahrukh kepada AFP.
Shahrukh berkata dia ternampak sepasang kasut boot hitam datang menghampiri ke arahnya, dan berasakan lelaki tersebut pasti sedang memburu pelajar-pelajar yang menyorok di bawah bangku.
Dia berkata dia diserang kesakitan yang amat tatkala kedua belah kakinya ditembak betul-betul di bawah lutut.
Shahrukh yang membuat keputusan untuk berpura-pura mati berkata: "Saya lipatkan tai saya, dan saya sumbatkan ke dalam mulut saya supaya saya tidak menjerit."
"Lelaki yang memakai boot besar itu asyik mencari pelajar dan menembak mereka. Saya cuba untuk tidak bergerak seboleh yang mungkin ketika saya berbaring dan saya tutup mata saya, menunggu saat jika mereka sekali lagi menarik picu untuk menembak saya.
"Badan saya meraung kesakitan. Saya tidak akan melupakan detik lelaki boot hitam itu menghampiri saya kerana ia seolah-olah kematian sedang menjemput saya," tambah Shahrukh.
Shahrukh cuba mengingati saat dia cuba bangun selepas sekumpulan lelaki bersenjata itu beredar dari tempat itu.
"Selepas mereka beredar, saya tunggu di sana untuk beberapa minit. Kemudian saya gagahkan diri untuk cuba bangun namun saya jatuh ke lantai kerana terlalu sakit.
"Tatkala saya merangkak ke bilik sebelah, keadaan di situ memang sangat mengerikan. Saya melihat mayat salah seorang pegawai sekolah kami ditembak.
"Darah mengalir daripada mayatnya yang terbakar yang dilihat masih terduduk di sebuah kerusi," tambah Shahrukh.
Shahrukh yang juga terlihat mayat seorang askar yang bekerja di sekolah itu pengsan ketika dia sedang merangkak untuk menyorok di sebuah pintu.
"Bila saya terjaga, saya sedang berbaring di katil hospital," kata Shahrukh.
Tehreek-e-Taliban Pakistan mendakwa serangan itu sebagi satu serangan tidak balas kepada serangan utama tentera rantau itu, dan kumpulan militannya diarahkan untuk menembak pelajar-pelajar yang lebih tua.