'Saya sepatutnya berlakon dalam Top Gun bersama Tom Cruise' - Lewis Hamilton
Agensi
Ogos 9, 2022 19:03 MYT
Ogos 9, 2022 19:03 MYT
LONDON: Bintang dunia lumba kereta, Lewis Hamilton, mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran untuk muncul sebagai juruterbang pesawat tempur dalam filem Tom Cruise Top Gun: Maverick kerana komitmennya pada Formula Satu.
Juara dunia tujuh kali itu memberitahu Vanity Fair bahawa dia sangat ‘terdesak’ untuk mendapat watak dalam filem berkenaan.
“Saya ini rakan kepada Tom Cruise. Dia pernah mempelawa saya ke set penggambaran beberapa tahun lalu ketika dia sedang menjayakan filem Edge of Tomorrow. Sejak itu kami membina persahabatan,” ujar pemandu Mercedes berusia 37 tahun itu.
Hamilton berkata, dirinya merupakan peminat setia filem asal Top Gun terbitan tahun 1986.
“Apabila saya mendapat tahu satu lagi filem sedang disiapkan, saya seperti ‘Oh Tuhan, saya mesti bertanyakan kepadanya’. Saya kata ‘Saya tak peduli watak apa pun… Saya malah boleh tukang sapu, jadi tukang pembersih di latar belakang,” kata Hamilton.
Apabila tiba peluang yang diidamkan iaitu ditawarkan watak juruterbang, Hamilton bagaimanapun terpaksa menolaknya kerana jadual penggambaran bertembung dengan jadual perlumbaannya. Hamilton menyifatkan penolakan itu sebagai ‘perkara paling mengecewakan dalam hidupnya’.
Berkaitan kerjayanya, warga Britain itu juga sempat mengulas tentang trauma akibat kekalahan gelaran tahun lalu kepada Max Verstappen dari Red Bull dalam pusingan terakhir perlumbaan di Abu Dhabi, selepas satu kontroversi keselamatan jentera.
Hamilton berkata, momen itu adalah 'ketakutan terburuk yang menjadi nyata' buatnya.
"Saya rasakan, tidak mungkin mereka akan berbohong sebegitu. Tidak mungkin. Ia tidak akan terjadi.
“Saya teringat lagi saat saya terduduk dan termenung kerana tidak percaya itu sudah terjadi. Kemudian saya sedar bahawa perlu membuka tali pinggang keledar, memanjat keluar dari jentera dan mencari kekuatan,” imbasnya.
Tambah Hamilton, waktu itu dia terasa seperti lemah dan seumpama keadaan paling teruk yang dialaminya sejak sekian lama.