'Saya sanggup hidup dan mati di Malaysia' - Pelarian Syria

Shafizan Johari
April 18, 2017 08:21 MYT
Begitupun, menurut Ahmed Zaki datang ke Malaysia tidak semestinya menjanjikan kehidupan yang lebih cerah, malah banyak cabaran yang ditempuhinya. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan risiko perjalanan yang lebih rendah menyebabkan ada kalangan pelarian Syria yang memilih Malaysia sebagai destinasi untuk mencari perlindungan.
Bagi Ahmed Zaki Khawla, kos untuk ke Malaysia jauh lebih rendah berbanding ke negara Eropah.
“Untuk ke Eropah, saya harus berbelanja sehingga AS$14,000 tetapi untuk ke Malaysia ia hanya menelan belanja AS$600- AS$700. Jadi saya buat keputusan untuk datang ke Malaysia,” cerita Ahmed Zaki ketika ditemui Astro AWAN,I baru-baru ini.
LIHAT FOTO-FOTO PELARIAN SYRIA DI SINI
Begitupun, datang ke Malaysia tidak semestinya menjanjikan kehidupan yang lebih cerah, malah banyak cabaran yang ditempiuhinya.
Akan tetapi, layanan baik kalangan rakyat Malaysia, menyakinkannya untuk terus tinggal di Malaysia.
“Mereka (warga Malaysia) amat peramah dan bersikap terbuka. Mereka sanggup menolong apa yang termampu dan saya bercadang untuk tinggal, hidup dan mati di sini.”
Realitinya, tinggal di negara orang bukan mudah, terutama sekali terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang jauh berbeza.
Data UNCHR menunjukkan sehingga Februari lalu 1,878 warga Syria kini menjadi pelarian di Malaysia. Mereka adalah antara 3,000 pelarian Syria yang dijanjikan perlindungan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2015.
Pertubuhan Malaysian Lifeline For Syria, yang bertangungjawab membantu dalam penempatan pelarian Syria di Malaysia pula menjangkakan antara 500 hingga 1000 pelarian lagi akan dibawa masuk tahun ini.
Bagaimanapun, angka berkenaan amat sedikit berbanding jumlah keseluruhan pelarian Syria yang bertaburan di seluruh dunia.
Data UNCHR menunjukkan lebih lima juta warga Syria kini terkesan akibat peperangan yang tercetus sejak Mac 2011.
Kebanyakkan mereka juga kini cuba mendapatkan suaka di negara-negara Eropah, terutamanya di Jerman. Pada 2016 sahaja, seramai 269,000 memohon suaka di negara berkenaan.
Kebanyakan pelarian juga mengunakan laluan laut merentasi Laut Mediterean untuk ke Eropah. Sejak Januari 2016 sehingga Mac lalu, lebih 83,000 pelarian Syria dilaporkan menjejaki laluan berkenaan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
Itupun kalau mereka tidak menemui ajal tatkala menyeberangi Mediterean ke Eropah.
Bagaimanapun kempen ketenteraan yang dikhuatiri semakin meningkat antara pelbagai pihak di Syria dikhuatiri akan meningkatkan lagi jumlah pelarian.
Ia termasuklah insiden terbaru melibatkan dakwaan serangan senjata kimia oleh regim Bashar Assad dan serangan peluru berpandu oleh tentera Amerika Syarikat.
#Ahmed Zaki Khawla #data driven #Najib Razak #rakyat #Syria
;