"Saya mahu sertai IS," tweet remaja Korea yang hilang ketika bercuti di Turki
AFP
Januari 21, 2015 18:17 MYT
Januari 21, 2015 18:17 MYT
Remaja Korea Selatan yang dilaporkan hilang disyaki menyertai gerakan militan Negara Islam (IS) susulan kemas kini melalui akaun Twitternya, “Sunni Mujahideen”.
Menurut tweet terkini di akaun tersebut, remaja itu menyatakan keinginannya untuk menyertai kumpulan militan berkenaan, kata pihak polis hari ini.
Identiti remaja berusia 18 tahun yang tercicir pendidikan itu dikenal pasti melalui nama keluarganya iaitu Kim.
Dia dilaporkan hilang di Turki awal bulan ini dan spekulasi yang menyatakan dia melintas sempadan ke Syria telah tersebar.
“Banyak bukti menunjukkan bahawa dia memiliki minat yang besar terhadap IS, namun kami tidak dapat mengesahkan sama ada dia telah menyertai mereka,” ujar pegawai kanan polis Seoul, Chung Jae-Il.
Jika perkara itu disahkan, ia merupakan kes pertama warga Korea Selatan terlibat dalam sebarang kumpulan radikal Islam.
Remaja berkenaan dilihat meninggalkan hotel penginapannya di Kilis dekat selatan Turki pada 10 Januari - tidak jauh dari sempadan Syria.
Pegawai rasmi Kementerian Luar Korea Selatan, memberitahu bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil daripada polis Turki memaparkan Kim menaiki sebuah teksi yang tidak berdaftar bersama-sama seorang lelaki yang tidak dikenali di luar masjid berdekatan hotelnya.
Mereka turun daripada teksi tersebut berdekatan sebuah kem pelarian di Besiriye, kira-kira 18 kilometer di Tenggara Kilis.
Polis memberitahu, Kim telah memuat naik beberapa siri mesej di akaun Twitternya pada bulan Oktober tahun lalu, meminta bantuan untuk mendekati kumpulan IS.
“Bagaimana caranya untuk menyertai IS? Ada sesiapa tahu? Saya mahu menyertai IS,” ujar Kim dalam Twitternya.
Ibu bapa Kim membenarkan anak mereka itu melancong ke Turki bersama teman keluarga selepas dia memohon agar diberi peluang bertemu seorang kawan yang dikenali dalam talian.