'Saya jadi mangsa penindasan politik' - Gloria Arroyo

Agensi
Julai 25, 2016 14:39 MYT
Arroyo mendedahkan isihatinya dalam wawancara pertama setelah dibebaskan daari tahanan. - Foto
Bekas presiden Filipina Gloria Arroyo yang baru dibebaskan dari tahanan lima tahun atas kontroversi kes rasuah, mendakwa dirinya menjadi mangsa penindasan politik.
Itu adalah luahan pertamanya kepada umum sejak keluar dari hospital tentera pada Khamis selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan dakwaan ke atasnya.
Bagaimanapun, Arroyo tetap mengatakan penahanannya suatu penganiayaan.
Mahkamah tidak mempunyai ‘cukup bukti’ untuk menuduh wanita itu mencuri sejumlah 366 juta peso (RM31.7 juta) dari dana program kebajikan ketika mentadbir Filipina antara tahun 2001 hingga 2010.
“Semua muslihat menggunakan kuasa politik untuk menindas musuh politik harus dihentikan. Saya perlu jadi mangsa yang terakhir.
“Saya tidak harap apa yang berlaku ke atas saya terjadi kepada musuh saya,” ujar Arroyo kepada stesen televisyen ABS-CBN.
Arroyo dipenjara pada 2011 di bawah pentadbiran presiden Benigno Aquino, yang mahu menjadikan kesnya itu sebagai simbol kesungguhan kempen anti-rasuah.
Pada Jun lalu, Rodrigo Duterte yang mengambil alih tampuk pentadbiran tertinggi Filipina daripada Aquino telah menawarkan pengampunan kepada Arroyo.
Aquino bagaimanapun mempertikai keputusan membebaskan Arroyo, sambil menegaskan bahawa Arroyo perlu bertanggungjawab kerana menyalahgunakan dana buat golongan miskin.
Arroyo yang juga anak kepada bekas presiden negara itu, Diosdado Macapagal, berkata keluarganya juga menghadapi penindasan apabila pesaingnya memburu sekutu bapanya.
“Saya tidak mengatakan tokoh politik harus terkecuali daripada pendakwaan, sebaliknya prosesnya perlu adil dan saksama,” tegasnya.
Walaupun dalam tahanan, Arroyo masih mengekalkan kerusinya dalam Dewan Perwakilan dalam pilihan raya Mei lalu, dengan memenangi penggal ketiga sebagai ahli Kongres bagi mewakili kubu kuat keluarganya dalam wilayah pertanian dan industri di utara Manila.
#Gloria Arroyo #Macapagal #penindasan politik #politik filipina #presiden filipina
;