"Saya gagal dan bodoh"- Luah pelajar sebelum gantung bunuh diri
Agensi
Mac 22, 2018 10:01 MYT
Mac 22, 2018 10:01 MYT
SIAPA sangka akibat kemurungan kerana diganggu secara seksual, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun sanggup menggantung dirinya untuk menamatkan kehidupannya.
“Saya gagal.. Saya bodoh.. Saya benci diri saya..” ini yang pernah diluahkan oleh pelajar perempuan dari Noida, New Delhi sebelum dia dijumpai meninggal dunia akibat menggantung diri pada kipas siling di kediamannya pada Selasa.
Catatan itu ditulis dalam satu buku nota kepunyaan mangsa yang dijumpai oleh pihak polis dan ia dikatakan sebagai pencetus kematian mangsa seperti yang dillaporkan portal media tempatan, NDTV.
BACA JUGA: "Mengapa saya dilahirkan pendek, gemuk dan hodoh?" - Nota bunuh diri kanak-kanak 10 tahun
Terdahulu, media tempatan melaporkan ibu bapa kepada pelajar perempuan itu telah menuduh dua orang gurunya yang telah melakukan serangan seksual terhadap anak mereka.
“Anak perempuan saya pernah memberitahu saya bahawa dua orang guru di sekolahnya pernah menyentuhnya dengan cara yang tidak sepatutnya. Saya sebagai seorang guru memberitahunya bahawa perbuatan itu adalah salah.
“Dia turut menyatakan yang dia sangat takut dan walau apa cara yang dilakukan untuk lulus dalam peperiksaan, pasti gurunya akan menggagalkannya,” ujar bapanya yang berduka cita atas pemergian anak kesayangannya.
Menurut Pegawai Polis Noida, Arun K Singh, pihaknya telah menerima laporan berkenaan dengan kedua-dua nama guru tersebut.
“Bapanya telah melakukan pertuduhan terhadap kedua-dua guru yang melakukan serangan seksual pada anaknya dan kes telah didaftarkan dalam kes gangguan seksual terhadap anak bawah umur dan bersubahat untuk membunuh,” katanya.
Walaubagaimanapun, pengetua sekolah tersebut telah menafikan dakwaan itu.