"Saya dalam keadaan baik" - Pele
Khairunnisa Kasnoon
September 18, 2021 21:00 MYT
September 18, 2021 21:00 MYT
LEGENDA Brazil, Pele memaklumkan, beliau pulih dengan baik selepas menerima rawatan intensif susulan pembedahan yang dijalaninya baru-baru ini.
Figura berusia 80 tahun itu menjalani pembedahan membuang tumor daripada usus besarnya pada bulan ini dan dibenarkan keluar dari unit rawatan intensif pada Rabu.
Hospital Albert Einstein di Sao Paulo memberitahu, kemasukkan semula Pele ke hospital adalah sebagai langkah pencegahan.
"Kawan-kawan semua, saya sudah pulih dengan baik.
"Hari ini saya menerima kunjungan ahli keluarga dan saya terus tersenyum setiap hari. Terima kasih atas semua kasih sayang yang saya dapat daripada anda," katanya di Instagram.
Pele menjalani rawatan di hospital sejak 31 Ogos setelah tumor dikesan dalam ujian rutin.
Media tempatan melaporkan Pele menjalani rawatan intensif sebagai langkah berjaga-jaga kerana usianya.
Pihak hospital kemudian mengeluarkan kenyataan tersebut dan menambah pesakit dipindahkan ke rawatan separa intensif selepas didapati stabil.
"Beliau kini stabil dari sudut kardiovaskular dan pernafasan," kata pihak hospital.
Kesihatan Pele menjadi perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menjalani pembedahan prostat pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital untuk kali kedua dalam tempoh enam bulan, dan dimasukkan lagi ke hospital akibat jangkitan pundi kencing pada 2019.
Pele merupakan penjaring terbanyak Brazil sepanjang masa dengan 77 gol dalam 92 perlawanan dan seorang daripada empat pemain yang telah menjaringkan gol dalam empat kejohanan Piala Dunia.
Lionel Messi baru-baru ini menggantikannya sebagai penjaring lelaki terkemuka Amerika Selatan dalam pertandingan antarabangsa dengan hatrik dalam kemenangan kelayakan Piala Dunia Argentina menentang Bolivia.