'Saya calon paling layak bertanding jawatan presiden' - Biden

Bernama
Julai 12, 2024 05:25 MYT
Biden bercakap kepada pemberita pada hari terakhir sidang kemuncak NATO di Washington, 11 Julai 2024. (Foto AP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berkata beliau layak bertanding jawatan presiden dalam pilihan raya November ini, meskipun terdapat desakan agar beliau menarik balik pencalonannya, lapor Agensi Anadolu.
"Saya fikir saya paling layak untuk bertanding jawatan presiden. Saya pernah kalahkan beliau (Donald Trump) dan saya akan menewaskannya sekali lagi," kata Biden semasa sidang media pada akhir sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pada 2020, Biden menewaskan calon Republikan Donald Trump yang ketika ini sudah pun mengumumkan hasratnya untuk kembali menerajui Rumah Putih.
"Saya tidak bertanding untuk meneruskan legasi. Saya bertanding untuk menyelesaikan tugas yang saya mulakan.
"Kita telah membuat begitu banyak kemajuan. Fikirkanlah.
"Saya optimis mengenai arah tuju perkara ini," katanya.
Biden membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap desakan yang semakin meningkat, menggesa beliau menarik diri daripada pilihan raya Presiden 2024.
BACA: Biden tersilap perkenal Zelenskyy sebagai Putin pada sidang kemuncak NATO
Pemimpin itu juga menyebut bahawa sekutu AS di sidang kemuncak NATO menggalakkan beliau untuk bertanding semula jawatan presiden.
Biden ketika ini merupakan presiden paling tua dalam sejarah dan akan berusia 86 tahun apabila penggal keduanya tamat.
.-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Joe Biden #Donald Trump #pilihan raya presiden