'Saya berjanji akan jadi presiden untuk semua rakyat Amerika' - Joe Biden

Nickyson Nyambar
Januari 20, 2021 02:26 MYT
Dalam ucapan sulung Presiden Joe Biden, beliau memberi jaminan akan bersama menewaskan isu-isu yang sering membelenggu rakyat Amerika. -Gambar REUTERS
WASHINGTON: Joe Biden membuat ucapan sulungnya setelah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 yang baharu.
Dalam ucapannya, beliau berjanji akan menjadi presiden kepada seluruh rakyat Amerika, termasuk mereka yang tidak menyokongnya.
"Saya berjanji kepada anda: Saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat Amerika.
”Dan saya berjanji, akan turut berjuang untuk pihak yang tidak menyokong saya, sama seperti mereka yang menyokong saya,” kata Biden ketika berucap.
Beliau berterima kasih kepada pendahulu beliau dari kedua-dua parti, Demokrat dan Republikan, termasuk yang tidak dapat hadir ke majlis angkat sumpah beliau yang berlangsung di Washington DC.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pendahulu saya dari kedua-dua pihak kerana hadir di sini pada hari ini. Saya amat berterima kasih kepada mereka seikhlas hati saya.
"Dan, saya tahu kekuatan serta ketahanan yang ditonjolkan di bawah Perlembagaan kita, negara kita, begitu juga Presiden (Jimmy) Carter yang saya amati semalam, yang tidak dapat bersama kita pada hari ini, tetapi kita hormati atas khidmat (kepada negara) sepanjang hayatnya," katanya lagi.
[LAPOR LANGSUNG] Joe Biden kini Presiden AS ke-46
Beliau menyedari pentingnya untuk menghormati lafaz sumpah yang dianggap keramat kerana tradisi itu telah diturunkan oleh presiden-presiden Amerika Syarikat sebelum ini.
"Saya baru saja mengangkat sumpah suci. Sumpah ini pertama kali dilaksanakan di Washington.
"Tetapi kisah Amerika bukan hanya bergantung kepada kami (yang melafaz sumpah), bukan juga sebahagian dari kita, tetapi semua rakyat Amerika. Ini adalah negara yang hebat. Kita adalah orang yang baik," tambah beliau.
Presiden AS | Joe Biden Presiden Amerika Syarikat ke-46
Dalam ucapannya, Biden turut berikrar akan memerangi ekstremisme politik, keganasan serta menangani isu COVID-19 yang membelenggu rakyat negara Uncle Sam itu.
"Kami memerlukan kekuatan anda semua untuk bertahan dalam masa sukar ini. Kita memasuki fasa di mana kita berhadapan dengan virus yang paling sukar dan bahaya," ujar beliau lagi.
Dalam masa yang sama, Presiden Joe Biden meminta orang ramai agar sentiasa bersatu padu dan mengamati peristiwa serangan di bangunan Capitol yang berlaku sebelum ini.
Antara lain, beliau turut memberi keyakinan untuk menewaskan isu-isu yang dekat dengan masyarakat AS seperti isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.
#Majlis Angkat Sumpah Joe Biden #presiden as #Joe Biden #Kamala Harris #Amerika Syarikat #Demokrat #Republikan
;