Saudara serumpun muafakat dalam isu pembangunan mampan di UNHA kedua
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Jun 8, 2023 18:02 MYT
Jun 8, 2023 18:02 MYT
NAIROBI: Kerjasama antara Malaysia dan Indonesia tidak hanya termeterai melalui lawatan rasmi Presiden Joko Widodo ke Kuala Lumpur.
Di Perhimpunan UN-Habitat (UNHA) sesi kedua yang sedang berlangsung di Nairobi, Kenya membuktikan kerjasama antara dua negara terjalin erat khususnya dalam pelaksanaan pembangunan mampan.
Menurut Naib Gabenor Jawa Timur, Emil Elestianto Dardak, kedua-dua negara sentiasa menjalinkan hubungan erat dalam hal perbandaran lestari.
"Saya optimis dengan potensi Malaysia dan Indonesia untuk membangun kesepakatan dalam hal pembangunan lestari.
"Di peringkat tertinggi kerajaan, pemimpin tertinggi kedua-dua buah negara sering bertemu dalam merangka dasar dan bertukar pendapat dan kepakaran," ujarnya.
Emil yang juga merupakan Presiden EAROPH International yang beribu pejabat di Putrajaya, yakin lebih banyak kerjasama bakal dicapai oleh kedua-dua buah negara kerana persamaan yang ada.
"Malaysia dan Indonesia adalah jantung Asia Tenggara, sudah pasti banyak persamaan. Tetapi kita perlu serius menetapkan apa keutamaan kita dalam hal ini (pembangunan lestari)," katanya.
Lebih daripada itu, Emil berpendapat, lebih banyak kerjasama terjalin di peringkat rakyat di akar umbi.
“Pertukaran kepakaran sering berlaku di peringkat universiti contohnya malah mereka antara yang kehadapan dalam isu perbandaran dan sering dijadikan rujukan dunia.
"Ini antara sebahagian contoh kejayaan kedua-dua negara dalam hal pembangunan mampan," jelas Emil.
Emil ditemui Astro AWANI ketika menghadiri salah satu sesi di Perhimpunan UN-Habitat yang berlangsung di Kompleks Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Gigiri, Kenya.
Perhimpunan yang bermula pada 5 Jun lalu akan berakhir pada Jumaat.