Satu per tiga wanita seluruh dunia pernah mengalami keganasan domestik - WHO

Astro Awani
Mac 9, 2021 07:07 MYT
736 juta wanita di seluruh dunia didapati pernah mengalami keganasan domestik sekali seumur hidup mereka. - Gambar hiasan
GENEVA: Nisbah seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia didapati berdepan keganasan fizikal atau seksual dalam kehidupan mereka.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kajian itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Serentak itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa kerajaan dan komuniti setempat memberikan perhatian terhadap perkara berkenaan.
Laporan yang didedahkan pada Selasa itu adalah berdasarkan kaji selidik yang dilakukan WHO membabitkan sejumlah besar wanita di seluruh dunia.
Laporan tersebut turut menyebut, satu per empat wanita muda yang menjalin hubungan didapati pernah mengalami keganasan oleh pasangan mereka sebelum mencecah usia 20-an.
Kaji selidik yang dilakukan sekitar 2018 hingga 2019 itu tidak mengambil kira tempoh pandemik COVID-19.
Ia juga mendapati peningkatan keganasan domestik terhadap wanita susulan perintah sekatan di kebanyakan negara.
"Laporan tersebut mengandungi data daripada 158 negara mengenai keganasan fizikal atau seksual dialami wanita dan perempuan berusia 15 tahun ke atas.
"Hasil kaji selidik ini memberi gambaran yang membimbangkan. Dianggarkan 736 juta wanita, hampir satu per tiga wanita di seluruh dunia pernah menghadapi keganasan daripada pasangan, bukan pasangan atau kedua-duanya sekali seumur hidup," katanya.
Justeru itu, Dr Tedros menggesa agar kerajaan, individu dan komuniti untuk membantu membangkitkan masalah ini.
ia termasuk gesaan perubahan undang-undang, memperkukuhkan ekonomi wanita dan hak kesamarataan buat wanita.
#WHO #keganasan #wanita #seksual #Fizikal
;